BERITA UTAMA
Adibah Amin diumum Tokoh Wartawan Negara 2023

Adibah Amin Tokoh Wartawan Negara 2023

KUALA LUMPUR – Wartawan wanita veteran, Adibah Amin diumumkan sebagai Tokoh Wartawan Negara pada Malam Wartawan Malaysia 2024 dan Hadiah Kewartawanan Malaysia (HKM) MPI-Petronas 2023 malam tadi.

Adibah atau nama sebenarnya, Khalidah Adibah Amin, 88, adalah wartawan wanita pertama diberikan pengiktirafan tertinggi dalam bidang kewartawanan tempatan.

Anugerah berkenaan disampaikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada adik perempuan beliau, Fadzilah Amin, yang mewakilinya yang tidak dapat hadir berikutan faktor kesihatan.

Adibah adalah anak kepada pejuang kemerdekaan Tan Sri Zainon Sulaiman atau Ibu Zain yang terkenal dengan kehebatannya dalam bidang kewartawanan dan penulisan, malah menjadi ahli bahasa, pendidik serta penyampai berita yang cemerlang.

Beliau yang terkenal dengan penguasaan baik dalam bahasa Melayu dan Inggeris itu turut menulis tiga novel bahasa Melayu menerusi nama pena Seri Delima, selain menghasilkan lebih 200 drama radio.

Adibah mula menjadi wartawan New Straits Times pada 1971 dan menjadi wanita pertama menyandang jawatan sebagai Pengarang Berita Harian (BH) (1983-1984), selain menjadi kolumnis BH dan The Star serta sebagai penasihat editor majalah Jelita.

Beliau sebelum ini pernah penerima beberapa pengiktirafan besar lain antaranya Tokoh Terjemahan Negara 2012, Anugerah Penulisan SEA (SEA WriteAward) 1983, Anugerah Pengembangan Sastera Esso-Gapena 1991, Anugerah Wartawan Cemerlang Negara (Persatuan Wartawan Melayu Malaysia) 1996 dan Anugerah Tun Razak 1998.

Pada November 2006, Adibah menghasilkan novel pertama dalam bahasa Inggeris, This End of The Rainbow selain menterjemahkan beberapa karya sastera penulis Malaysia termasuklah No Harvest But A Thorn tulisan Sasterawan Negara Shahnon Ahmad (judul asal Ranjau Sepanjang Jalan).

Beliau juga telah menghasilkan lebih 50 buku karya asal, penyuntingan dan terjemahan antaranya Glimpses: cameos of Malaysian life MPH Group Publishing 2008, As I was passing II MPH Group Publishing 2007 dan As I was passing MPH Group Publishing 2006.

Selain berkarya, Adibah turut mempunyai bakat dalam bidang lakonan dan pernah membintangi filem yang mendapat sambutan ramai iaitu Adik Manja (1980) sehingga berjaya memenangi anugerah Pelakon Pembantu Terbaik dalam Pesta Filem Malaysia Pertama, serta Hati Bukan Kristal (1989) dan Mat Som (1990).

Pencalonan Adibah sebagai Tokoh Wartawan Negara itu dikemukakan oleh Persatuan Wartawan Wanita Malaysia (PERTAMA).

Sementara itu, Timbalan Presiden PERTAMA Nasriah Darus menyifatkan pengiktirafan kepada Adibah ialah satu penghargaan dan penghormatan besar buat wartawan wanita di Malaysia, sekali gus menjadi motivasi kepada golongan itu mengharungi cabaran dalam dunia kewartawanan pada masa ini.

“Wartawan wanita ialah tulang belakang dalam tugas melapor berita, mencatat sejarah, malah sebagai pendidik masyarakat … kehebatan serta kemampuan golongan wanita tidak dapat dinafikan malah setanding wartawan lelaki.

“Kami di PERTAMA amat menghargai dan berterima kasih kepada pihak Malaysian Press Institute (MPI) atas pengiktirafan ini dan diharap ia menjadi pembakar semangat kepada semua wartawan wanita untuk terus berjuang dalam bidang ini,” katanya yang juga Timbalan Ketua Pengarang (Perkhidmatan Berita) Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama).

Hadiah Kewartawanan Malaysia (HKM) MPI-Petronas 2023 menerima lebih 488 penyertaan untuk 23 kategori yang dipertandingkan.

Hadir mengiringi Perdana Menteri pada acara malam ini ialah Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil. – BERNAMA

 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *