KUALA LUMPUR – Kes Ebit Lew didakwa merogol seorang wanita warga Indonesia yang dikenali sebagai Mondy tatoo tidak akan diteruskan.
Pendakwah bebas itu menerusi akaun Facebooknya petang ini mengesahkan perkara itu yang diputuskan Pejabat Peguam Negara.
“Alhamdulillah. Segala puji bagi Allah. Jabatan Peguam Negara telah memutuskan kes tidak diteruskan (NFA) berkenaan tuduhan Mondy tatoo pada saya. Insya-Allah saman kepada mereka yang terlibat sedang berjalan,” tulis beliau ringkas.
Dalam pada itu, pihak pembelaan Ebit Lew memberitahu, pasukan pendakwaan tidak akan meneruskan kes rogol wanita terbabit terhadap pendakwah terkenal itu.
Peguam, Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili Ebit atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim Lew berkata, polis telah menyiasat kes berkenaan, namun pendakwaan memutuskan kes itu tidak akan diteruskan.
“Ebit tidak akan dituduh di mahkamah, malah barang kes antaranya telefon bimbit dan kad sim milik anak guam saya telah dipulangkan semalam.
“Saya sebagai peguamnya, telah dimaklumkan sendiri oleh polis pada hari yang sama,” katanya.
Beliau berkata, tuduhan yang dilemparkan sangat serius maka pihaknya telah memfailkan saman fitnah terhadap wanita itu dan Mahkamah Sesyen Shah Alam menetapkan 1 Julai ini untuk taksiran ganti rugi.
Katanya, kes ini menyebabkan nama baik Ebit rosak kerana difitnah.
Kontroversi melibatkan Ebit dan Caprice bermula pada 15 September tahun lalu, selepas Mondy membuat pendedahan dirinya yang menjadi mangsa gangguan seksual seorang lelaki berperwatakan alim.
Menerusi temu bual di siaran podcast Caprice, wanita itu menyebut mengenai perkara berkenaan sehingga mengaitkan nama Ebit.
Susulan itu, pada 21 September tahun sama, pihak polis memanggil seramai 13 individu untuk membantu siasatan kes terbabit.
Sehari kemudian, Ebit memfailkan saman fitnah terhadap Caprice dan Mondy Tatto atau nama sebenarnya, Rita Restu Amanda.
Pada 11 Oktober 2023, Ebit berjaya mendapatkan perintah injunksi di Mahkamah Sesyen Shah Alam supaya Caprice dan Mondy memadamkan rakaman di laman Youtube Nustix.com The Podcast Show dan lima video di Instagram penyanyi rap itu dalam tempoh 24 jam.
Ebit memperoleh perintah injunksi itu bagi menghalang dua individu berkenaan daripada mengeluarkan kenyataan mencemarkan reputasi dan ugutan terhadap penceramah bebas itu, keluarga serta rakan-rakannya. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252