PUTRAJAYA – Rancangan Israel untuk menguasai keseluruhan Palestin tidak akan berjaya, kata mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Sebaliknya, kata beliau, genosid ke atas rakyat Palestin yang berterusan itu akan melahirkan lebih ramai penentang dari satu generasi ke generasi seterusnya.
Malah, kata beliau, tiap seorang dari penduduk di Gaza yang masih hidup kehilangan ahli keluarga, waris mereka ini tidak akan lupa dan ia akan diwarisi dari generasi ke satu generasi.
“Mereka tidak akan lupa apa yang dilakukan oleh Israel. Selagi ada nyawa di badan mereka akan musuhi orang Yahudi. Perasaan ini akan diteruskan melalui generasi-generasi yang menyusul.
“Mereka (Israel) tidak akan berjaya. Sampai bila pun orang Palestin akan ada. Dan mereka akan serang Israel dan orang Israel,” katanya menerusi entri terbarunya di laman X, hari ini.
Menurut Dr. Mahathir, niat jahat Israel tidak akan berjalan sepanjang zaman, sebaliknya dunia akan memandang orang Yahudi dan Israel sebagai manusia bersifat binatang.
“Niat jahat Israel tidak akan berjaya sepanjang zaman. Yang akan berjaya ialah nama buruk orang Yahudi dan Israel di seluruh dunia akan berkekalan.
“Dunia akan pandang orang Yahudi dan Israel sebagai manusia yang bersifat binatang, yang tidak bertamadun, yang perlu dimusuhi sepanjang zaman,” katanya.
Perkembangan terbaru berkaitan perang Israel-Palestin memasuki fasa baharu apabila Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden pada 31 Mei lalu telah membentangkan perjanjian tiga fasa yang dicadangkan oleh Israel kepada wakil Palestin, Hamas.
Perkembangan tersebut menyatakan akan memberi respons positif kepada sebarang cadangan yang merangkumi gencatan senjata kekal, penarikan penuh dari Semenanjung Gaza, usaha pembinaan semula, kepulangan orang yang dipindahkan, dan penyelesaian pertukaran tawanan yang menyeluruh.
Sehingga kini, jumlah kematian rakyat Palestin akibat serangan berterusan Israel ke atas Semenanjung Gaza telah meningkat kepada 35,984 orang, kata pihak berkuasa kesihatan di wilayah Palestin.
Lebih 25,000 wanita dan kanak-kanak terbunuh dalam perang Israel ke atas Gaza sejak 7 Oktober tahun lalu, menurut Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat (AS), Lloyd Austin. – NasionalDaily
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252