BERITA UTAMA
Pemandu e-hailing burukkan Islam depan pelancong wajar diberhentikan

Pemuda Pas Gombak buat laporan polis terhadap pemandu e-hailing hina Islam

GOMBAK – Dewan Pemuda Pas Kawasan Gombak akan membuat laporan polis berhubung tindakan seorang pemandu e-hailing memburuk-burukkan agama Islam kepada pelancong asing yang menggunakan perkhidmatannya.

Urusetia Dewan Pemuda itu berkata, pihaknya akan membuat laporan itu di Balai Polis Gombak kira-kira jam 2 petang ini untuk meminta pihak berkuasa menyiasat dan mengambil tindakan tegas ke atas pemandu terbabit.

Katanya, semalam telah tular satu video seorang pemandu e-hailling berbual dengan sekumpulan pelancong asing dalam kereta.

“Dalam perbualan tersebut yang dirakam, pemandu e-hailing itu telah menyebarkan fitnah dan mengejek serta menghina agama Islam yang merupakan agama rasmi Malaysia.

“Ini adalah isu 3R yang tidak sepatutnya dilakukan oleh rakyat Malaysia. Oleh itu Dewan Pemuda Pas Gombak akan turun membuat laporan polis petang ini,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Semalam, media melaporkan, Gabungan E-Hailing Malaysia menggesa syarikat e-hailing mengambil tindakan tegas ke atas seorang pemandu yang menghina Islam di hadapan penumpang, iaitu pelancong asing.

Ketua Aktivis gabungan itu, Jose Rizal dilaporkan berkata, tindakan memberhentikan pemandu terbabit dari perkhidmatan berkenaan wajar dilakukan serta merta kerana telah memburukkan nama Islam dan Malaysia khususnya.

Difahamkan, pemandu itu mempertikai Islam sebagai agama rasmi dan mendakwa kebebasan tersekat termasuk larangan berjudi dan minum arak. – NasionalDaily

 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *