PUTRAJAYA – Malaysia menuntut Amerika Syarikat (AS) bertindak lebih tegas terhadap Israel yang dilihat bersikap degil dan angkuh sehingga menyebabkan kesengsaraan berterusan ke atas rakyat Gaza.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia juga menyatakan sokongan penuh terhadap rundingan damai Gaza bagi memuktamadkan gencatan senjata seperti dicadangkan oleh AS, Qatar dan Mesir.
Tegas Anwar, usaha tersebut penting untuk menghentikan pencerobohan berterusan dan penjajahan ke atas wilayah Palestin.
“Berkaitan dengan cadangan Presiden AS, Joe Biden bersama Qatar dan Mesir, kami telah membincangkan isu ini di Kabinet pagi ini (Rabu), dan kami menyokong inisiatif daripada ketiga-tiga negara tersebut.
“Kami merasakan ini adalah cadangan yang munasabah untuk menjamin gencatan senjata segera dan diharapkan untuk keamanan yang kekal termasuk penyelesaian secara baik kepada konflik yang telah berlarutan selama beberapa dekad,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Peluncuran Modul Latihan Kenegaraan Malaysia Madani anjuran Akademi Kenegaraan Malaysia di sini, pada Rabu.
Media antarabangsa pada 2 Jun lalu melaporkan pengantara gencatan senjata Qatar, Mesir dan AS menyeru Israel dan Hamas untuk memuktamadkan perjanjian merangkumi prinsip yang digariskan oleh AS untuk gencatan senjata yang berkekalan.
Negara pengantara itu turut menekankan bahawa “perjanjian itu menawarkan jalan baharu untuk gencatan senjata kekal dan menamatkan krisis.
Biden pada Jumaat berkata, Israel telah mengemukakan kepada Hamas satu perjanjian tiga peringkat yang akan menamatkan konflik di Gaza dan memastikan pembebasan tawanan yang ditahan di wilayah dikepung berkenaan.
Beliau merayu kepada Hamas untuk menerima perjanjian itu dan menggesa Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu menahan diri daripada tekanan ahli gabungan pemerintahannya yang menentang rancangan tersebut.
Mengulas lanjut, Anwar berpandangan kenyataan AS disifatkan sebagai paling tegas setakat ini.
“… dan ia seharusnya disokong oleh semua pihak. Kami juga berharap agar AS menggunakan pengaruhnya untuk memastikan Israel menghormati keputusan tersebut,” tambah Perdana Menteri.
Lebih 36,000 rakyat Palestin telah terbunuh di Gaza sejak Israel memulakan serangannya pada 7 Oktober tahun lepas. – AWANI
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252