DUNIA seni dan sastera kehilangan seorang anak seni yang tidak pernah sunyi dalam melahir dan menzahirkan karya puisi terkesan.
Dia ialah seorang penyair dan juga pelakon, Pyanhabib atau nama sebenarnya Mohd Supyan Abdul Rahman, 66, yang menghembuskan nafas terakhirnya di kediaman di Hulu Kelang, malam tadi.
Pemergiannya dianggap secara mengejut kerana baharu seminggu yang lalu, arwah menyambut hari lahir ke-66.
Pyanhabib menulis di Facebook Isnin lalu ketika menyambut hari lahir ke-66 tahun.
“Cucu minta potong kek, saya pun potong kek.
“Nabi Muhammad SAW wafat pada usia 63 tahun dan saya hidup pada usia subsidi diberi Allah,” katanya.
Pyanhabib lahir pada 27 Mei 1958 dan berasal dari Taiping, Perak.
Allahyarham aktif menulis dan membaca puisi sejak 1976 bersama Anak Alam dan mencetuskan fenomena baca puisi di bawah tiang lampu 10 tahun kemudian.
Beliau juga terbabit dalam teater dan lakonan filem serta menulis beberapa buku.
Anak Alam ialah kumpulan seni yang diasaskan pada dekad 1970-an oleh sekumpulan seniman tanah air yang disertai penyair, pemain teater, penulis dan pelukis.
Tidak hanya berkarya menerusi ekspresi seni, kumpulan itu juga mengulas isu masyarakat seperti kemiskinan menerusi karya mereka.
Pada tahun 2023, Allahyarham dianugerahkan Tokoh Penyair Kuala Lumpur 2023 oleh Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA). – NasionalDaily
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252