BERITA UTAMA
IRAMA serah mesin pernafasan bantu Ali

IRAMA serah mesin pernafasan bantu Ali

KUALA LUMPUR – Pengalaman melihat betapa seksanya vokalis kumpulan XPDC, Ali tercungap-cungap selepas tong oksigen kehabisan gas ketika menjalankan kerja dakwah di Pulau Perhentian, Terengganu membuatkan Presiden Konsortium Industri Rakaman Muzik Malaysia (IRAMA), Ayob Abd Majid terpanggil untuk memberi bantuan mesin pernafasan kepada penyanyi itu.

Berkongsi lanjut perkara itu, Ayob berkata, mesin pernafasan berharga kira-kira RM4,000 sudah lama dibeli persatuan bertujuan membantu ahli memerlukan.

“Kami bersama jemaah tabligh keluar berdakwah di Pulau Perhentian dan ditempatkan dalam satu bilik, baru-baru ini.

“Ketika itu saya melihat Ali tercungap-cungap apabila tabung oksigen kehabisan gas. Difahamkan, Ali mempunyai masalah jantung dan paru-paru.

“Saya mengurut dadanya untuk melegakan pernafasan yang tersekat-sekat.

“Memandangkan berada di pulau, kami terpaksa membawa tabung gas ke Besut untuk diisi semula, manakala Ali dibawa ke pusat kesihatan berhampiran untuk mendapatkan rawatan.

“Insiden ini mengingatkan saya mengenai mesin pernafasan yang IRAMA pernah beli untuk kegunaan ahli, jadi saya berikan mesin ini untuk kemudahan Ali kerana mesin ini tidak perlu diisi semula gas seperti tabung oksigen,” katanya kepada BH Online.

Ayob menambah, meskipun mesin itu adalah milik IRAMA, Ali atau nama sebenarnya, Mohd Ali Ismail boleh menggunakannya selagi diperlukan.

“Tiada had masa diberikan dan Ali bebas menggunakannya sampai selagi perlu.

“Kalau ada ahli turut memerlukan mesin pernafasan, IRAMA akan sediakan yang lain.

“Sebelum ini, kami pernah membeli tabung oksigen untuk kegunaan bekas penyampai radio Sinar FM, Najman Mohamed.

“Najman juga menyarankan IRAMA membeli mesin pernafasan untuk kemudahan ahli kerana fungsi lebih praktikal.

“Mesin ini berharga kira-kira RM4,000 dan dibeli menerusi hasil sumbangan ahli serta pelbagai aktiviti dijalankan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ayob juga ingin menjelaskan mengenai bantuan yang sering diberikan persatuan hingga menimbulkan pertikaian pelbagai pihak termasuk ahli.

“Bantuan disalurkan ini hanya sebagai program tanggungjawab sosial korporat IRAMA dan ia tercetus ketika penggiat seni berdepan pandemik COVID-19.

“Kami bukan seperti Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) dan Persatuan Karyawan Malaysia (KARYAWAN) yang memang objektif untuk membantu penggiat seni.

“IRAMA tidak dapat dana daripada kerajaan dan sumber kewangan kami menerusi aktiviti yang dijalankan sendieri,” tegas Ayob.

Sementara itu, Ali ketika dihubungi mengucapkan terima kasih atas keprihatinan IRAMA kerana menyumbangkan mesin oksigen untuk kemudahannya.

Menurut bekas vokalis kumpulan Terra Rossa itu, mesin berkenaan sangat diperlukan berikutan keadaan dirinya banyak bergantung kepadanya.

“Saya terharu dan berterima kasih kepada IRAMA atas keprihatinan. Mesin oksigen ini saya gunakan bila saya tidur.

“Kalau saya perlu bergerak ke mana-mana, baru saya bawa tabung oksigen bersama,” ujarnya.

Ditanya mengenai perkembangan kerjaya seninya, Ali berkata, dia dinasihatkan untuk lebih banyak berehat.

“Saya memang tak ambil sebarang tawaran persembahan sebelum ini kerana disarankan supaya berehat.

“Di kesempatan ini juga saya mohon semua peminat mendoakan moga saya segera sembuh dan dapat kembali aktif seperti biasa,” ungkapnya.

Pada April lalu, BH melaporkan Ali, 56, dimasukkan ke Unit Rawatan Koronari (CCU) di Pusat Jantung, Hospital Sultan Idris Shah, Serdang, selepas disahkan terkena serangan jantung.

Ali dikejarkan ke hospital selepas menerima kerusi roda disumbangkan EXCO Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan dan Pembangunan Bandar Lestari, Kebudayaan, Adat Istiadat Melayu dan Warisan Selangor, Borhan Aman Shah yang mengunjungi penyanyi itu di kediamannya di Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang.

 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *