BERITA UTAMA
Ali Rustam angkat sumpah Yang di-Pertua Negeri Melaka penggal kedua

Ali Rustam angkat sumpah Yang di-Pertua Negeri Melaka penggal kedua

AYER KEROH – Tun Dr Mohd Ali Mohd Rustam mengangkat sumpah jawatan sebagai Yang di-Pertua Negeri Melaka Ketujuh untuk penggal kedua, hari ini.

Istiadat di Balai Istiadat, Seri Negeri, di sini dilangsungkan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi 1 Melaka, Datuk Anselm Charles Fernandis dan Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Salhah Salleh yang menjalankan tugas Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka.

Yang turut hadir, Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh; Hakim Mahkamah Tinggi 2, Mohd Radzi Abdul Hamid dan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril.

Pada 28 Mei lalu, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan mengurniakan Surat Cara Pelantikan kepada Mohd Ali sebagai Yang di-Pertua Negeri Melaka bagi penggal kedua, bermula 4 Jun 2024 selama tempoh empat tahun, lapor Berita Harian.

Mohd Ali berkelulusan Ijazah Kepujian Sarjana Muda Kemasyarakatan (Ekonomi Pembangunan) dari Universiti Sains Malaysia (USM) dan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) Sastera dan Sains dari Universiti Malaya (UM).

Beliau dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri Melaka Ketujuh pada 4 Jun 2020 bagi menggantikan Tun Mohd Khalil Yaakob.

Mohd Ali pernah menyandang jawatan Timbalan Menteri Kesihatan dan Ahli Parlimen Batu Berendam sejak 1995 hingga 1999 serta Ketua Menteri Melaka Kesembilan dari 1999 hingga 2013.

Dalam ucapannya, beliau menjunjung kasih dan penghargaan kepada Sultan Ibrahim yang berkenan melantiknya sebagai Yang di-Pertua Negeri Melaka Ke-7 bagi penggal kedua.

“Saya juga merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Datuk Seri Ab Rauf Yusoh atas sokongan terhadap pelantikan saya sehingga diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong.

“Adalah menjadi harapan saya supaya Melaka kekal menjadi negeri yang aman dan rakyatnya dapat hidup dalam suasana harmoni serta sentiasa menjunjung Perlembagaan dan rukun negara,” katanya. – ND

 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *