BERITA UTAMA
Datuk Zayn Rayyan sudah lantik peguam baharu

Datuk Zayn Rayyan sudah lantik peguam baharu

PETALING JAYA – Datuk kepada kanak-kanak lelaki autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin yang ditemui meninggal dunia akibat dibunuh sudah melantik peguam baharu bagi mewakili ibu bapa Zayn yang kini dalam tahanan reman.

Zahari Mohd Reba ketika dihubungi Harian Metro mengesahkan dia sudah melantik peguam baharu.

“Maaf ya… buat masa ini saya tidak boleh beri apa-apa kenyataan lagi atas nasihat peguam,” katanya yang mengesahkan sudah melantik peguam baru.

Terdahulu BH melaporkan peguam mewakili ibu bapa Zayn Rayyan Abdul Matiin yang kini ditahan reman mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan memaklumkan bahawa beliau tidak lagi mewakili mereka bermula hari ini.

Sebelum ini, Mahmud dilantik keluarga ibu bapa Zayn Rayyan selepas pasangan berusia 28 tahun itu ditahan polis pada Jumaat lalu.

Beliau turut hadir semasa prosiding permohonan reman ke atas suami isteri itu di Mahkamah Petaling Jaya, Sabtu lalu sebelum Majistret Ainaa Muhammad Kamal membenarkan reman tujuh hari sehingga Jumaat ini (7 Jun).

Terdahulu, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan dilaporkan berkata, ibu bapa kanak-kanak terbabit direman untuk siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Hussein sebelum itu mengesahkan polis menahan kedua-dua ibu bapa Zayn Rayyan di kediaman keluarganya di Puncak Alam, pada jam 10.05 pagi bagi membantu siasatan polis berkaitan kes pembunuhan anak pasangan itu.

Pada 6 Disember tahun lalu, kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan yang juga anak sulung pasangan berkenaan ditemui dalam keadaan tidak bernyawa di kawasan saliran air, kira-kira 200 meter dari kediaman keluarganya di Apartmen Idaman, Damansara Damai, Petaling Jaya.

Bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia akibat kecederaan leher, berkemungkinan besar dicekik atau dijerut.

Sehari sebelum itu, polis mengesahkan pihaknya menerima laporan kehilangan kanak-kanak terbabit pada jam 6.30 petang oleh keluarganya. – ND

 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *