Kapal angkasa China meninggalkan bulan dengan membawa sampel

Kapal angkasa China meninggalkan bulan dengan membawa sampel

BEIJING – Kapal angkasa China yang membawa sampel dari bulan sudah memulakan perjalanan kembali ke bumi, hari ini.

Penerokaan itu adalah pertama di dunia dan pencapaian utama untuk program angkasa lepas Beijing.

Menurut Pentadbiran Angkasa Negara China (CNSA), kapal angkasa Chang’e-6 bertolak dari permukaan dan memasuki orbit pratetap yang mengelilingi bulan.

Agensi berita negara, Xinhua, menyifatkan pelancaran itu sebagai pencapaian yang tidak pernah berlaku dalam sejarah penerokaan bulan oleh manusia.

Memetik jurucakap misi Chang’e-6, Ge Ping berkata, analisis sampel yang dibawa balik akan membolehkan saintis mendalami penyelidikan mengenai pembentukan dan sejarah evolusi bulan.

Ia juga akan mendedahkan maklumat mengenai asal usul sistem suria dan meletakkan asas yang lebih baik untuk misi penerokaan masa depan.

Ahad lalu, Chang’e-6 mendarat di Kutub Selatan bulan, Aitken Basin iaitu salah satu kawah terbesar yang diketahui dalam sistem suria, menurut CNSA.

Misi selama 53 hari itu secara teknikalnya bermula pada 3 Mei.

Chang’e-6 mempunyai dua kaedah pengumpulan sampel iaitu gerudi untuk mengumpul bahan di bawah permukaan dan lengan robot untuk mengambil spesimen di atas permukaan.

“Selepas berjaya mengumpul sampel, bendera kebangsaan China turut dikibarkan buat kali pertama,” katanya.

Saintis berkata, bahagian bulan yang gelap mempunyai potensi besar untuk penyelidikan kerana kawah kurang dilitupi oleh aliran lahar purba berbanding bahagian berhampiran.

Bahan yang dikumpul juga akan menjelaskan dengan lebih baik bagaimana bulan terbentuk. – AFP

 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *