BERITA UTAMA

Tiga sekeluarga dihanyut kepala air sempat berpaut pada pelampung

SETIU – Seorang wanita berdepan detik cemas apabila dia bersama seorang anak lelaki dan adiknya dihanyutkan arus sejauh lima meter ketika terperangkap dalam kejadian kepala air di Hutan Lipur Lata Changkah di sini, semalam.

Siti Alia Aisha Mohd Afandi, 30, berkata, kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu berlaku dalam tempoh yang singkat.

Sinar Harian melaporkan, dia bersama dua anak, seorang adik serta ahli keluarga dari Kota Bharu, Kelantan antara enam pengunjung yang terperangkap dan berjaya diselamatkan.

“Sebelum berlaku kepala air, saya bersama dua anak lelaki berusia 2 dan 7 tahun serta seorang adik perempuan berada di seberang sungai.

“Waktu itu kami sedang bermain air dan secara tiba-tiba saya terdengar jeritan anak saudara yang ketika itu berada di darat menyuruh kami naik,” katanya ketika ditemui di Lata Changkah di sini.

Jelas Siti Alia Aisha, ketika ingin menyeberangi sungai dia terlihat sampah sarap mula dihanyutkan air sebelum kepala air tiba-tiba melanda.

Siti Alia Aisha memberitahu, dalam keadaan cemas itu, anaknya berusia dua tahun yang berada di pangkuannya berjaya diselamatkan oleh seorang anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang kebetulan berada di lokasi kejadian.

Bagaimanapun, katanya, dia bersama seorang lagi anak lelaki berusia 7 tahun serta adiknya dihanyutkan arus sejauh lima meter sebelum sempat berpaut pada pelampung dan diselamatkan orang ramai.

“Saya bersyukur sebab kami semua selamat walaupun saya sendiri nyaris lemas,” katanya.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Setiu, Asisten Superintenden Burhanuddin Mustafa berkata, kejadian melibatkan seramai enam pengunjung itu tidak melibatkan kemalangan jiwa.

“Tiga mangsa daripada satu keluarga berusia lingkungan 7 hingga 30 tahun manakala tiga lagi merupakan rakan berusia 20 hingga 22 tahun,” katanya.

 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *