BERITA UTAMA
Penyokong Persija Jakarta membakar suar

Rusuhan penyokong cemari keraian Selangor

KUALA LUMPUR – Kehebatan pasukan Selangor FC bukan sahaja dicemburui di Malaysia, malah mendapat perhatian dari penyokong Persija Jakarta apabila bertindak di luar kawalan dengan membakar suar dan membaling barang ke arah padang selepas pasukan kesayangan mereka ketinggalan 1-0 dalam aksi final kejohanan jemputan RCTI Premium Sports, semalam.

Melalui video yang tersebar di media sosial itu, permainan terpaksa dihentikan pada minit ke-87 selepas mendapati asap daripada pembakaran suar semakin banyak dan mula mengganggu perlawanan.

Sukan@Metro melaporkan, disebabkan itu, kedua-dua pasukan terpaksa dibawa masuk ke bilik persalinan masing-masing untuk memastikan keselamatan pasukan terjamin dan sudah pasti bagi Red Giants pula mereka tidak ingin sejarah hitam berulang lagi dalam pasukan.

Meskipun terdapat beberapa minit lagi sebelum masa permainan tamat, tetapi disebabkan keadaan semakin ‘menggila’, perlawanan terpaksa dihentikan serta merta bagi memastikan kedua-dua pasukan tidak mengalami sebarang perkara tidak diingini biarpun ada usaha untuk menyambung semula perlawanan itu.

Selain suar yang dibakar, terdapat juga peminat membakar mercun, namun difahamkan pemain Selangor FC tidak mengalami sebarang kecederaan dari kejadian itu.

Bukan itu sahaja, tindakan tidak bertamadun itu disusuli dengan rusuhan oleh segelintir peminat seakan sukar untuk menerima keputusan tidak memihak kepada tuan rumah sehingga pasukan keselamatan terpaksa bertindak pantas mengawal daripada berlaku lebih teruk lagi. – Harian Metro

 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *