KUALA LUMPUR – Parti Bersatu akan menghantar notis kekosongan kerusi selepas keahlian enam Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) digugurkan secara automatik.
Ketua Penerangannya, Datuk Razali Idris berkata, notis itu akan dihantar oleh Setiausaha Agung, Datuk Seri Hamzah Zainudin kepada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.
“Notis kekosongan kerusi kepada Johari akan dihantar selepas enam Ahli Parlimen berkenaan gagal menjawab surat arahan bertulis Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti untuk menzahirkan ikrar taat setia kepada parti dalam tempoh 14 hari seperti ditetapkan.
“Notis kekosongan kerusi Parlimen itu bertepatan dengan pindaan ke atas Fasal 10, Perlembagaan Bersatu yang diluluskan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS),” katanya dipetik laporan Berita Harian.
Enam Ahli Parlimen itu ialah Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal; Zahari Kechik (Jeli); Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang); Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanafi (Tanjong Karang).
Ahli Parlimen Tanjong Karang, Dr. Zulkafperi Hanapi dan ADUN Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari sebelum ini dimaklumkan sudah terhenti secara automatik keahlian parti, selepas mereka menyertai kempen Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu.
Mengulas lanjut, Razali berkata, notis kekosongan kerusi Dewan Undangan negeri (DUN) Selat Klang juga akan dihantar kepada Yang Dipertua DUN Selangor, Lau Weng San.
Katanya, kerusi itu kosong selepas Abdul Rashid menyatakan sokongan kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, serta gagal menjawab surat taat setia kepada parti dalam tempoh ditetapkan. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252