SUNGAI BAKAP – Pas sudah membuat persiapan menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap dengan menyediakan senarai calon yang bakal dipertaruhkan.
Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang, Muhammad Fauzi Yusoff berkata, walaupun senarai nama sudah ada, tetapi akan dimuktamadkan di peringkat pusat, termasik masih membuka ruang kepada pandangan akar umbi.
Menurut beliau, senarai pendek nama calon sudah ada, tetapi belum diserah kepada pusat untuk penilaian.
“Kita juga masih buka ruang untuk pelbagai pihak seperti Dewan Pemuda, Muslimat dan Kawasan untuk memberi cadangan.
“Senarai nama ini ada potensi, tetapi kita kena buat beberapa kajian lagi sebelum menyerahkannya kepada pimpinan pusat.
“Ini bagi memastikan calon yang akan dipilih oleh Pas pusat nanti boleh menang bagi parti ini mempertahankan kerusi DUN Sungai Bakap,” katanya dipetik Sinar Harian.
Muhammad Fauzi berkata, banyak perkara yang perlu dilihat dan diperhalusi sebelum pemilihan calon dibuat.
“Kita kaji banyak sudut antaranya personaliti calon itu sendiri sebab itu kita mengambil sedikit masa untuk memuktamadkan senarai nama calon.
“Mungkin kita akan serahkan (senarai nama) sebelum 6 Jun ini, tetapi tak tentu lagi lah. Yang pasti sebelum penamaan calon, kita sudah muktamadkan calon yang paling sesuai untuk bertanding,” katanya lagi.
Sebelum ini, Muhammad Fauzi menyatakan Pas Pulau Pinang akan memberi peluang kepada akar umbi untuk memberi cadangan calon yang bakal bertanding dalam PRK Sungai Bakap kelak.
Kata Muhammad Fauzi, calon anak tempatan akan diletakkan di kerusi DUN berkenaan berikutan pada pilihan raya negeri (PRN) lalu, kawasan itu ditandingi Pas dan meraih kemenangan. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252