Hanya RM6.2 bilion, bukan RM16 bilion, Kitingan jawab Anwar

PETALING JAYA – Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Jeffrey Kitingan mempersoalkan jumlah peruntukan persekutuan untuk negeri itu yang dipetik oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, peruntukan persekutuan hanya RM6.2 bilion, bukan RM16 bilion yang disebut Anwar.

Kitingan tertanya sama ada perdana menteri diberi nasihat yang kurang tepat, menurut Borneo Post.

Kitingan juga mempunyai persoalan berhubung kenyataan Anwar mengenai RM16 bilion itu yang dikatakan melebihi tuntutan kerajaan negeri ke atas hasil persekutuan bersih.

“Bagaimana Anwar yang juga Menteri Kewangan tahu mengenai jumlah bahagian Sabah, sedangkan angka itu tidak dimaklumkan kepada kami,” katanya.

Menurut Perlembagaan, Sabah dan Sarawak berhak menerima pemberian khas setiap tahun, yang boleh dikaji semula atas permintaan kerajaan persekutuan atau negeri.

Bagi Sabah, katanya, perlembagaan menetapkan pemberian bersamaan 40 peratus daripada jumlah yang lebih tinggi dari hasil bersih yang diperoleh pada 1963.

“Kami selama ini tertanya-tanya mengenai angka. Dari mana muncul angka itu? Saya rasa Kementerian Kewangan yang beritahu beliau,” kata Kitingan, yang sebelum ini berkata, kerajaan negeri akan buat pengiraan sendiri.

Katanya lagi, bayaran interim RM300 juta itu bukan wang yang terhutang dan menyeru perkara itu diselesaikan secepat mungkin.

“Kami menghormati perdana menteri kerana sebut RM16 bilion itu, tetapi kami harus bangkitkan isu ini sehingga selesai. Jika kami tak bangkitkan isu ini, mereka akan lupa,” katanya.

Presiden Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu, Pandikar Amin Mulia berkata, kenyataan Anwar menambah kekeliruan dalam kalangan rakyat Sabah.

Beliau juga tertanya bagaimana Anwar dapat angka RM16 bilion itu.

“Kenyataan perdana menteri semalam mengelirukan. Saya pun keliru,” kata beliau.

Terdahulu, bekas Ketua Menteri, Salleh Said Keruak menggesa pegawai kerajaan persekutuan membincangkan dan merumuskan suatu mekanisme untuk mengira jumlah pemberian khas bagi Sabah. – ND

 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *