BERITA UTAMA

Rashid dakwa ahli Bersatu Selat Klang sokong secara senyap

PETALING JAYA – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selat Klang mendakwa, ramai ahli Bersatu menyokong tindakan beliau menyatakan sokongan kepada pentadbiran Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, namun secara senyap-senyap.

Abdul Rashid Asari berkata, sejak beliau mengumumkan sokongan kepada Amirudin, ada ketua-ketua cawangan memaklumkan mereka “bersama saya”.

Rashid yang juga bekas Ketua Bersatu Selangor pada Mac lalu mengisytiharkan sokongan kepada kepimpinan Amirudin antara lain bagi memastikan kesejahteraan penduduk di kawasannya.

“Ramai yang sokong tindakan saya secara senyap-senyap,” katanya kepada FMT.

Semalam, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan seramai 25 Ahli Parlimen dan 58 ADUN Bersatu menandatangani surat arahan khusus Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti.

Wakil rakyat Bersatu  dilaporkan diberi tempoh 14 hari untuk menyatakan pendirian susulan langkah enam Ahli Parlimen dan seorang ADUN menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atau Menteri Besar Amirudin.

Surat itu dikatakan mengandungi arahan, antaranya memaklumkan mereka harus setia kepada parti serta mendukung dasarnya dan memberitahu kepimpinan Bersatu tidak akan menyokong kepimpinan kerajaan perpaduan.

Difahamkan wakil rakyat Bersatu yang menyokong kerajaan perpaduan telah menyerahkan surat penyataan pendirian masing-masing.

“Kalau saya tak jadi ahli Bersatu lagi mungkin saya akan masuk mana-mana parti dalam Pakatan Harapan (PH) jika diamanahkan lagi untuk bertanding,” katanya.

Rashid yakin sebahagian ahli Bersatu akan bersamanya andai beliau bertanding di Selat Klang pada pilihan raya akan datang.

“Ahli Bersatu di Selat Klang ada lebih kurang 2,000 orang… saya yakin separuh daripada jumlah itu boleh saya tarik bersama saya,” kata bekas pemimpin Bersatu Selangor itu.

“Mereka tak akan sokong secara terbuka, mereka akan sokong secara diam-diam,” katanya. – ND

 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *