AYER KEROH – Tindakan kerajaan Melaka melantik Fan Bingbing, artis antarabangsa kelahiran China dilihat sebagai sesuatu di luar kewajaran kerana tidak menggambarkan imej ‘orang Melaka’.
Ketua Penerangan Pas negeri, Wan Zahidi Wan Ismail berkata, pelantikan individu dari luar negara mempromosikan program rasmi memperkenalkan Negeri Melaka kepada dunia adalah sesuatu yang janggal dan pelik.
“Sewajarnya seseorang ikon itu haruslah berlatarbelakangkan penduduk asal Melaka yang hendak dipromosikan. Barulah ikon tersebut dapat menjadi gambaran apa itu masyarakat Melaka kepada dunia luar.
“Ramai lagi artis tempatan, malah yang berasal dari Melaka sendiri boleh dijadikan ikon program Tahun Melawat Melaka dan lebih menggambarkan apa itu ‘orang Melaka’,” ujarnya.
Pas Melaka tegasnya, membantah tindakan tersebut yang dilihat tidak sesuai dengan latarbelakang negeri, lebih lagi artis tersebut dikatakan terpalit dengan pelbagai isu dalam negaranya sendiri.
“Pas Melaka dengan ini mendesak kerajaan negeri mengkaji semula keputusan tersebut agar negeri ini tidak menjadi bahan jenaka oleh orang ramai sehingga menjejaskan sambutan Tahun Melawat Melaka 2024,” katanya.
Kata Wan Zahidi, kritikan orang ramai terhadap perkara itu boleh dilihat di media massa dan media sosial yang mempersoalkan kewajaran pelantikan artis berkenaan bagi membawa peranan besar itu.
“Perlu diingat Melaka suatu waktu dahulu adalah empayar Islam yang menjadi pusat dakwah dan keilmuan Islam. Ia bukan pusat hiburan dan perfilemen seperti Hollywood dan Hong Kong.
“Justeru, adalah amat menjengkelkan apabila kemuliaan yang telah terpahat buat Melaka dicemarkan oleh pengambilan ikon pelancongan yang langsung tidak menggambarkan kemuliaan imej negeri sebagai pusat dakwah dan keilmuan Islam,” katanya lagi.
Selain itu, Wan Zahidi turut menzahirkan kebimbangan pelantikan itu akan menggunakan kos yang besar kerana melibatkan seorang pelakon antarabangsa.
Kos tersebut ujar beliau, sepatutnya boleh disalurkan untuk membantu rakyat yang sedang dalam kesusahan.
Kerajaan Melaka juga sewajarnya lebih mengambil cakna isu seperti penutupan jalan di Bandar Hilir yang menyebabkan berkurangnya pelancong melawat ke kawasan bersejarah, sedangkan sebelum ini menjadi tumpuan ramai. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252