BERITA UTAMA

Bekas Presiden PPOC mengaku pecah amanah hampir RM500,000

IPOH – Bekas Presiden Persatuan Pemulihan Orang Cacat Perak (PPOC) mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini, atas tiga pertuduhan pecah amanah hasil jualan dua bidang tanah milik persatuan itu, membabitkan RM492,474 pada 2019 dan 2020.

Kamarulzaman Abdullah, 65, membuat pengakuan itu selepas ketiga-tiga pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ibrahim Osman.

Mahkamah kemudiannya menjatuhkan hukuman satu hari penjara bagi setiap pertuduhan yang berjalan serentak dari tarikh jatuh hukuman.

Mahkamah turut menjatuhkan hukuman denda RM80,000 atau lapan bulan penjara jika gagal membayar denda, bagi ketiga-tiga pertuduhan.

Mahkamah juga memerintahkan wang tunai yang disita berjumlah RM11,200 dilucuthakkan di bawah Seksyen 40(1) (a) Akta SPRM 2009 kepada kerajaan Malaysia.

Selain itu, wang simpanan dalam empat bank yang berkaitan berjumlah RM49,903 berserta faedah turut dilucuthak di bawah seksyen dan akta sama, kepada kerajaan Malaysia.

Menurut pertuduhan pertama, dia yang diamanahkan dengan hasil jualan dua bidang tanah di Kampung Tengku Husin Baharu, Ipoh bernilai RM540,000 telah melakukan pecah amanah jenayah dengan memindahkan sebahagian wang penjualan tanah tersebut berjumlah RM413,974 ke akaun peribadinya pada Disember 2019.

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, dia didakwa telah melakukan pecah amanah dengan memindahkan RM30,000 dan RM48,500 hasil jualan tanah sama ke dalam akaun dua syarikat milik anak tirinya pada 8 November 2019 dan 1 Januari 2020.

Bagi ketiga-tiga kesalahan itu, dia dituduh di bawah Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 10 tahun dan sebat dan hendaklah juga dikenakan denda.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Maziyah Mansor dan Pegawai Pendakwa Mohd Shafiqzan Suhaimi, manakala tertuduh tidak diwakili peguam. – ND

 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *