BERITA UTAMA

Tak boleh sokong PM: 10 ADUN Bersatu Perlis, Terengganu serah Surat Arahan MPT

KUALA LUMPUR – Seramai 10 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari parti Bersatu menyerahkan Surat Arahan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) kepada pucuk pimpinan.

Dari jumlah itu, lima adalah ADUN Perlis dan selebihnya Terengganu.

Perkara itu dimaklumkan Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin menerusi dua hantaran berbeza di laman Facebooknya semalam.

“Alhamdulillah, Timbalan Ketua Badan Pimpinan Negeri (BPN) Terengganu yang juga Ketua Bahagian Bersatu dan Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid menyerahkan Surat Arahan MPT yang disempurnakan semua lima ADUN Terengganu.

“Setiausaha BPN Perlis, Azahar Hassan juga menyerahkan Surat Arahan MPT yang ditandatangani kesemua lima ADUN Perlis dari Bersatu,” katanya.

Sebelum ini, Ketua Armada Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menandatangani Surat Arahan MPT bagi mematuhi pindaan Perlembagaan parti.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Machang berkata, surat arahan itu adalah untuk menghalang mana-mana ahli daripada menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perhimpunan Agung Khas Bersatu pada 2 Mac lalu meluluskan pindaan Perlembagaan parti itu berhubung pelucutan keahlian parti bagi Ahli Parlimen dan ADUN serta Ahli Dewan Negeri yang menyokong mana-mana pihak bertentangan dengan parti atau musuh.

Pindaan itu membabitkan tiga perkara di bawah Fasal 10 Perlembagaan Bersatu iaitu berkaitan hal-hal pemberhentian dan pemecatan ahli parti. – ND

 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *