BERITA UTAMA

Hadiah sastera peringkat negeri bantu penulis gilap potensi

Oleh Karmila Azmi

KUALA LUMPUR – Berbanding dengan perkembangan sastera di negeri lain, Sabah, Sarawak dan Johor secara konsisten memiliki pengiktirafan peringkat negeri yang didukung oleh kerajaan negeri.

Hal ini membantu perkembangan penulis anak negeri dan disifatkan satu keberuntungan oleh Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), Prof. Madya Dr. Mohamad Saleeh Rahamad ketika menjayakan Anjung Sasterawan bersama Hasyuda Abadi di reruai Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2024.

Mohamad Saleeh berkata, walaupun banyak negeri lain mengadakan pengiktirafan sastera, tetapi mereka tidak konsisten dan bergantung pada punca kuasa.

Malah, ada negeri misalnya Pulau Pinang, buat pertama kalinya mengadakan hadiah sastera untuk penulis anak negerinya tahun lalu.

“Penulis Sabah perlu berterima kasih kepada DBP juga dalam hal ini dan mengambil peluang untuk membina kepakaran dan terus mewujudkan kesinambungan.

“Selain itu, DBP juga kini ada usaha untuk setiap negeri mempunyai anugerah sasteranya sendiri dan standardnya.

“Hal ini baik untuk perkembangan dan pertumbuhan penulis,” katanya.

Sementara itu, Hasyuda Abadi berkata, beliau tidak lahir daripada keluarga seni, tetapi minat itu hadir sendiri meskipun terdidik dalam bidang sains.

Malah, katanya, pada peringkat awal, beliau aktif dalam penulisan ketika tidak ramai penulis Sabah yang memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM).

“Saya masih ingat kerana tidak ramai penulis Sabah menang HSPM, ketika saya memenanginya pada tahun 1985, saya dijadikan penulis angkat oleh DBP.

“Hal ini membantu perkembangan saya sebagai penulis, apatah lagi DBP secara khusus melantik seorang guru untuk membimbing saya.

“Guru saya ialah Allahyarham Datuk Dr. Ahmad Kamal Abdullah atau Kemala, Sasterawan Negara,” katanya.

Hasyuda Abadi berkata, pengalaman berguru dengan Kemala menyaksikan Kemala memberikannya ruang untuk berkembang.

“Matlamat DBP ketika itu ialah setiap penulis mesti ada buku sendiri, dan hal ini membantu,” katanya.

Untuk rekod, Hasyuda Abadi atau nama sebenarnya Sukor Usin berasal dari Beaufort, Sabah dan merupakan penerima Anugerah Penyair Islam Sabah 2008. – NasionalDaily

Kredit Dewan Sastera

 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *