PENGANALISIS berbeza pandangan mengenai seruan veteran UMNO, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah supaya orang Melayu termasuk ahli Bersatu dan Pas kembali bersatu di bawah payung UMNO, yang disifatkan sebagai ‘usaha sukar’.
Ariff Aizuddin Azlan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) berkata, orang Melayu khususnya bekas ahli UMNO sudah semakin selesa dengan wadah perjuangan baharu menerusi Perikatan Nasional (PN).
“Jika fenomena penghijrahan ini tidak ditangani dengan baik, maka saya khuatir UMNO tidak lagi menjadi relevan untuk satu jangka waktu yang panjang,” katanya kepada FMT.
Beliau mengulas kenyataan Tengku Razaleigh atau Ku Li dalam temu bual eksklusif dengan FMT baru-baru ini bahawa perpecahan membawa kepada penubuhan pelbagai parti ketika ini telah melemahkan pengaruh politik kolektif orang Melayu.
Sehubungan itu, beliau menggesa UMNO mengajak orang Melayu kembali ke pangkuannya serta ahli parti politik serpihannya seperti Bersatu dan Pas bersama dengannya semula.
Menurutnya, Bersatu dan Pas hanya mendapat sokongan besar pengundi Melayu hari ini disebabkan rasa tidak puas hati terhadap ketidakupayaan UMNO berpegang kepada prinsipnya.
Ariff berkata, luahan Ku Li itu jelas apabila ramai figura besar dan penting dalam UMNO, memilih untuk membelakangi parti dan bertanding atas tiket parti lawan, selain sebahagian besar menunjukkan protes ke atas corak kepimpinan pemimpin kanan UMNO termasuk Presidennya, Zahid Hamidi.
“Ini menjadikan penyokong di peringkat akar umbi mula beralih arah dan memilih untuk bersama dengan PN kerana mereka juga menjuarai isu yang sama iaitu Melayu dan Islam,” katanya.
Bagaimanapun Azmi Hassan, Felo Majlis Profesor Negara (MPN) berpendapat strategi UMNO memanggil semula bekas ahli yang dipecat atau dibuang mampu memberi persepsi kepada akar umbi bahawa parti itu ingin kembali kepada kekuatan asalnya.
Namun, beliau berkata, bagi menjayakan misi itu, pemimpin yang sudah lama berada ditampuk kepimpinan parti harus berundur dan memberi peluang kepada ‘pemimpin lebih segar’ seperti Khairy Jamaluddin dan Shahril Hamdan, yang ternyata mempunyai pengikut tersendiri.
Tambah Azmi, veteran UMNO yang mempunyai pengalaman luas pula boleh menjadi penasihat di belakang tabir seperti Ku Li, yang dilihat lantang mengkritik dan melontarkan idea terhadap kepimpinan UMNO.
“Kalau orang lama dipanggil kembali jadilah macam Ku Li, hanya memberi nasihat dari belakang, tidak aktif untuk pegang jawatan, itu penting kerana masalah UMNO adalah hilang kepercayaan, keyakinan orang Melayu terhadap kepimpinan parti itu.
“Jadi, ini masa terbaik untuk kepimpinan berbesar hati kalau mereka merasakan mereka dah terlampau lama berada di pucuk kepimpinan perlu diberi (peluang) kepada muka baharu,” katanya. – FMT
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252