BERITA UTAMA

JWP fokus selesai isu IMM13 di Labuan dan warga asing di KL

LABUAN – Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) akan fokus kepada usaha menyelesaikan isu IMM13 yang berlarutan sejak sekian lama di pulau bebas cukai ini dan lambakan warga asing di Kuala Lumpur.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr. Zaliha Mustafa berkata, isu berkenaan antara yang dibincangkan pada Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri Wilayah Persekutuan Bil. 1/2024, yang kali terakhir diadakan pada 2020, di Kuala Lumpur hari ini.

“Mesyuarat tertumpu kepada pelbagai isu keselamatan dan ketenteraman awam termasuk IMM13 di Labuan dan lambakan warga asing,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

IMM13 ialah dokumen yang dikeluarkan kepada warga Filipina bersatus pelarian di Sabah dan Labuan.

Pada mesyuarat itu, Dr. Zaliha turut menyentuh isu penempatan haram warga Rohingya di Bandar Baru Sentul, Kuala Lumpur yang tular di media sosial dan beliau memberi jaminan perkara itu akan ditangani segera.

Beliau turut mengumumkan penubuhan unit khas dikenali sebagai ‘KL Strike Force’, yang akan bertindak secara bersepadu dengan penglibatan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

Menurutnya, unit berkenaan ditubuhkan bagi menangani isu melibatkan keselamatan termasuk peniaga jalanan, penjaja, peniaga kecil, gelandangan serta isu semasa lain yang mengancam keselamatan dan ketenteraman awam di Wilayah Persekutuan.

“Penguatkuasaan secara bersepadu ini akan dijalankan serta-merta di kawsan ‘hotspot’ termasuk tindakan ke atas hantaran yang tular di media sosial,” katanya. – BERNAMA

 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *