BERITA UTAMA

Johnny Wactor mati ditembak ketika dirompak

LOS ANGELES – Bintang siri General Hospital, Johnny Wactor, 37, dilaporkan terbunuh selepas ditembak tiga individu bertopeng dalam cubaan merompak barangan berharga dalam keretanya, di sini, awal pagi kelmarin.

Mengikut laporan TMZ, Wactor dan rakan sekerjanya melihat tiga suspek didakwa cuba mencuri penukar bermangkin (catalytic converter) daripada keretanya, sebelum ditembak mati dalam kejadian kira-kira jam 3.30 pagi.

Ibu mangsa, Scarlett Wactor dilapor berkata, dia diberitahu oleh pihak berkuasa bahawa anaknya tidak melawan, namun suspek masih melepaskan tembakan ke arahnya sebelum melarikan diri dengan kenderaan.

Ketika kejadian, Wactor pada awal menyangka keretanya ditarik ketika berjalan dari tempat kerja dan cuba bercakap dengan suspek, namun salah seorang memakai topeng bertindak melepaskan tembakan ke arahnya.

Wactor kemudian dikejarkan ke hospital terdekat sebelum disahkan meninggal dunia. Setakat ini, masih belum ada penangkapan dibuat berhubung kejadian itu, lapor Los Angeles Times.

Ejen Wactor, David Shaul dalam satu kenyataan berkata, pelakon itu adalah contoh moral sebenar kepada semua yang mengenalinya.

“Dalam profesion yang mencabar ini, Wactor sentiasa berusaha untuk terus melakukan yang terbaik.

“Masa bersama Wactor adalah satu keistimewaan yang kami harapkan kepada semua orang.

“Selepas lebih sedekad bersama, Wactor akan sentiasa tersemat di hati selama-lamanya,” katanya.

Wactor membawa watak Brando Corbin dalam siri General Hospital antara 2020 hingga 2022. Dia juga muncul dalam pelbagai filem dan siri televisyen (TV), termasuk Station 19, NCIS, Westworld dan permainan video Call of Duty: Vanguard. – AGENSI

 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *