BERITA UTAMA

Pameran diilhamkan perjalanan seni M Nasir Jun ini

SESAT DI KUALA LUMPUR, Lagunya Begini, Tampaknya Begitu… M.Nasir.

Itulah nama pameran seni khas untuk meraikan perjalanan seni Datuk M Nasir yang penuh inspirasi selama 45 tahun.

Pameran anjuran Galeri Puteh ini akan menampilkan karya-karya yang diinspirasi daripada lagu-lagu ciptaan M Nasir dengan menggabungkan elemen seni visual, fotografi dan persembahan.

Nizam Rahmat, jurucakap galeri itu berkata, pameran yang berlangsung dari 8 hingga 30 Jun ini akan menawarkan perspektif unik mengenai warisan budaya dan kreativiti M Nasir yang telah memberi impak besar dalam industri seni Malaysia.

“M Nasir, seorang seniman yang dikenali kerana ketokohannya dalam bidang seni, terus menjadi sumber inspirasi bagi generasi muda penggiat seni.

“Pameran SESAT DI KUALA LUMPUR, Lagunya Begini, Tampaknya Begitu…M.Nasir adalah manifestasi penghargaan terhadap sumbangan beliau yang tiada tandingan dalam memperkayakan landskap seni dan budaya negara,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, pameran seni ini yang menghimpunkan lebih dari 30 pengkarya seni tampak, fotografi dan persembahan akan menjanjikan satu pengalaman artistik yang luar biasa kepada semua pengunjung.

Antara pengkarya yang menyertai pameran ini adalah M Nasir, Rafiee Ghani, Ahmad Fuad Osman, Masnoor Ramli, Abdullah Jones, Samsuddin Wahab, Stephen Menon, Najib Bamadhaj, Shafiq Nordin, Hisyamuddin Abdullah, Kide Baharudin dan Ika Sharom.

“Bukan sahaja meraikan seni tetapi pameran ini juga akan menjadi platform untuk menghubungkan pelbagai bentuk ekspresi seni. Pameran ini menjanjikan untuk menghidupkan kembali momen-momen ikonik dalam kerjaya M Nasir melalui lensa para pengkarya yang terlibat,” katanya.

Beliau berkata, orang ramai dijemput hadir untuk menikmati keindahan dan keunikan seni yang dipamerkan, sekali gus memberikan sokongan kepada para penggiat seni tempatan.

Katanya, maklumat lanjut mengenai pameran dan acara-acara yang diadakan sepanjang bulan Jun boleh didapati di laman web rasmi Galeri Puteh dan media sosial mereka.

 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *