KUALA LUMPUR – Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menyediakan empat unit tren elektrik (ETS) tambahan, masing-masing dua laluan Padang Besar-KL Sentral dan sebaliknya serta KL Sentral-Butterworth dan sebaliknya sempena Aidiladha ini.
KTMB dalam kenyataan semalam memaklumkan, tren tambahan bagi laluan Padang Besar ke KL Sentral dan sebaliknya akan beroperasi bermula 13 hingga 18 Jun dan 21 hingga 23 Jun, manakala laluan Butterworth ke KL Sentral dan sebaliknya beroperasi dari 13 hingga 18 Jun.
“Sebanyak 9,450 tiket tren tambahan termasuk koc kelas perniagaan mula dijual hari ini jam 3 petang. Penambahan perkhidmatan ini untuk menampung permintaan tinggi semasa musim perayaan dan mengelakkan kesesakan trafik bagi mereka yang hendak pulang ke kampung halaman.
“Orang ramai disaran membuat pembelian tiket melalui aplikasi KTMB Mobile (KITS) yang boleh dimuat turun melalui Play Store, Appstore dan App Gallery atau membuat pembelian terus menerusi laman sesawang rasmi KTMB,” menurut kenyataan itu.
KTMB turut menasihati pengguna merancang perjalanan dan membuat pembelian lebih awal bagi menikmati tambang fleksi yang lebih menjimatkan serta elakkan pembelian tiket di saat akhir. – BERNAMA
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252