BERITA UTAMA

Exco Pelancongan Perlis telah sedar, keadaan semakin stabil – MB

KANGAR – Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Perlis Wan Badariah Wan Saad yang dirawat dan ditidurkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini sejak 14 Mei lepas telah sedar serta keadaannya semakin stabil.

Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli berkata bagaimanapun Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mata Ayer daripada PAS itu masih dalam keletihan.

“Dia (Wan Badariah) sedar tetapi terlampau letih. Paru-paru masih ada jangkitan,” katanya yang dihubungi Bernama hari ini.

Mohd Shukri berkata pada masa ini portfolio Wan Badariah digalas dua Exco iaitu Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Kemajuan Sukan Perlis Wan Zikri Afthar Ishak dan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan Perlis Megat Hashirat Hassan.

Pada 15 Mei lepas, Bernama melaporkan Wan Badariah, 47, mendapatkan rawatan dan ditidurkan pada petang 14 Mei di ICU, HTF dan Menteri Besar Perlis dipetik sebagai berkata ADUN berkenaan ditidurkan selepas mengalami komplikasi jantung dan paru-paru. – BERNAMA

 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *