KUALA LUMPUR – Concerned Lawyers for Justice (CLJ) meluahkan kebimbangan dengan kenyataan mengelirukan Lawyers for Liberty (LFL) berhubung Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan mengenai kedudukan Istimewa orang Melayu.
Setiausahanya, Faidhur Rahman Abdul Hadi menegaskan, tindakan LFL mengecam kenyataan Jawatankuasa Naib Canselor dan Rektor Universiti Awam mengenai status Universiti Teknologi MARA (UiTM) sebagai institusi yang terhad kepada orang Melayu dan bumiputera Malaysia sebagai tidak wajar.
“Kenyataan LFL bahawa “tidak ada apa-apa dalam Perkara 153 Perlembagaan yang menghalang atau melarang kemasukan bukan bumiputera ke UiTM” adalah sama sekali tidak benar, selain mengelirukan.
“Sedangkan, Perkara 153(8A) secara jelas menyediakan peruntukan untuk kuota dalam perkhidmatan, permit, biasiswa dan keistimewaan pendidikan bagi bumiputera.
“Ini secara jelas merangkumi penubuhan institusi pendidikan untuk orang Melayu dan bumiputera lain yang ketinggalan dari segi ekonomi dan sosial,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Pengarah LFL, Zaid Malek yang menyifatkan pendirian Jawatankuasa Naib Canselor dan Rektor Universiti Awam sebagai “membimbangkan”, sambil menambah dengan mengekalkan “naratif yang regresif dan palsu”, ia mengabaikan bukan sahaja perlembagaan, tetapi juga keperluan sistem kesihatan.
Kata Zaid, adalah amat mengecewakan apabila ahli akademik kanan secara terbuka menyokong penerusan dasar satu kaum sahaja di universiti dan kolej di Malaysia yang moden ini.
Menurut Faidhur Rahman, tujuan Perkara 153 itu digubal adalah untuk memastikan perlindungan hak dan kedudukan istimewa orang Melayu serta peribumi Sabah dan Sarawak, sambil menjaga secara serentak kepentingan sah kaum lain.
Ujar beliau, kenyataan LFL itu membawa kepada salah tafsir semangat dan intipati Perkara 153 Perlembagaan dengan mengatakan tiada asas perlembagaan untuk polisi kemasukan khusus bumiputera UiTM.
Katanya, LFL secara tidak langsung telah mengabaikan konteks sejarah dan duluan undang-undang yang menyokong penyediaan hak-hak serta keistimewaan khas kepada bumiputera sebagai cara untuk memperbaiki ketidakseimbangan ekonomi dan pendidikan.
“Tambahan lagi, tafsiran yang diberikan oleh LFL terhadap Perkara 12 mengenai larangan diskriminasi dalam pendidikan untuk membenarkan pendirian mereka adalah tidak tepat sama sekali.
“Perkara 12(1) adalah tertakluk kepada Perkara 8(2) Perlembagaan mengenai larangan diskriminasi umum, yang membenarkan diskriminasi atas dasar yang dibenarkan oleh Perlembagaan, termasuk dinyatakan dalam Perkara 153.
“Adalah mengecewakan sebuah NGO terkemuka seperti LFL menjadi antara pendukung utama menentang pelanggaran hak asasi manusia, mengambil pendirian salah dalam tafsiran Perlembagaan dan mengabaikan realiti sosio-ekonomi serta faktor sejarah yang memerlukan dasar tindakan afirmatif bagi menolong penduduk bumiputera Malaysia secara amnya,” ujar beliau.
Beliau menyatakan, CLJ mengesahkan sokongannya terhadap pendirian Jawatankuasa Naib Canselor dan Rektor Universiti Awam mengenai UiTM dan menyeru perbincangan lebih menyeluruh dan seimbang mengenai isu itu.
Katanya, penting untuk mengakui peruntukan di bawah Perkara 153 bukanlah mengenai peruntukan pengecualian semata-mata, tetapi menyediakan sokongan diperlukan bagi memastikan peluang saksama untuk semua rakyat Malaysia dalam jangka masa panjang.
“Kami menggesa LFL untuk mempertimbangkan semula pendirian mereka dan melibatkan diri dalam dialog konstruktif demi menghormati rangka kerja perlembagaan dan objektif sosio-ekonomi yang ingin dicapai.
“CLJ percaya, hanya melalui pemahaman dan kerjasama sedemikian, semua pihak boleh terus bekerja ke arah Malaysia yang lebih adil dan saksama,” katanya. – NasionalDaily
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252