BERITA UTAMA

JAKIM perlu lebih agresif terap nilai Qurani

KUANTAN – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) perlu memainkan peranan lebih agresif untuk menerapkan nilai-nilai Qurani dalam kehidupan masyarakat kerana itu jalan yang terbaik bagi membangunkan Malaysia MADANI.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata tidak ada jalan yang lebih baik untuk membangunkan Malaysia MADANI melainkan membiasakan diri dengan al-Quran, memahami dan menelaah kandungannya, agar mudah diterjemahkan dalam kehidupan seharian.

Beliau berkata, al-Quran mengandungi 1,001 nilai yang boleh dipelajari dan dihayati umat Islam menerusi pelbagai kisah teladan di dalamnya seperti kisah Nabi Yusuf AS yang menerangkan mengenai kemampanan dasar, kisah Ashabul Kahfi yang menjelaskan nilai ketaatan serta kisah Nabi Daud AS yang menunjukkan parameter keadilan.

“Saya sering tekankan tentang peri pentingnya pengukuhan nilai, tanpa membezakan kedudukan, pangkat, latar belakang sosioekonomi dan sebagainya. Sesiapa pun perlu mempunyai nilai sahsiah yang tinggi dalam diri. Malah, nilai yang paling agung ialah nilai yang diajar dalam al-Quran.

“Majlis seumpama ini (Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran), bukan sekadar majlis mengalunkan bacaan dan menghafaz al-Quran. Tetapi, lebih jauh daripada itu, kerajaan mahu meningkatkan penghayataan dan membudayakan kandungan al-Quran baik di peringkat individu, keluarga, masyarakat dan organisasi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan (MTHQK) Tahun 1445 Hijrah/2024 Masihi di Kompleks Penyiaran Sultan Haji Ahmad Shah di sini malam ini.

Hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Fadillah berkata, al-Quran juga menjadi sumber rujukan kepada asas perpaduan dan penyatuan ummah menerusi surah-surah yang terkandung di dalamnya seperti surah Al-Hujurat mengingatkan umat Islam supaya bersatu dan menjauhi perkara yang boleh memecahbelahkan masyarakat.

“Di kala kita berbeza pandangan, sedarlah bahawa Allah SWT mengingatkan kita untuk kembali kepada-Nya dan Rasul-Nya sepertimana yang termaktub dalam surah An-Nisa ayat 59.

“Untuk apa kita perlu kembali merujuk kepada al-Quran dan hadis? Supaya kita semua bersatu merujuk kepada sumber yang sama apabila masing-masing mempunyai pendirian yang berbeza. Ini ialah petua perpaduan yang Allah titipkan kepada kita dalam kitab suci-Nya” kata Fadillah sambil menambah negara juga perlu belajar daripada sejarah negara lain seperti India dan Black Canadian mengenai perpaduan.

Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, perpaduan ialah kekuatan, menerusi perpaduan juga akan memastikan mobilisasi sosial yang kukuh dan stabil serta memberikan kesan positif terhadap kemajuan negara, termasuklah pengukuhan ekonomi dan pembangunan mampan.

“Kita melihat sendiri bagaimana konflik di Palestin yang berlaku sejak empat dekad yang lepas. Generasi silih berganti, tetapi seolah-olah tidak ada jalan perdamaian sepanjang puluhan tahun itu. Mereka menjadi mangsa sifat iri dan diskriminasi yang diwarisi zaman-berzaman sehingga mencetuskan kezaliman amat dahsyat.

“Dalam hal ini, saya tekankan bahawa Kerajaan MADANI menentang sebarang penindasan, penghapusan kaum dan pembersihan etnik. Semua insan layak untuk hidup di muka bumi ini dan mendapat hak kebajikan sama rata. Nilai karamatul insan tidak boleh sama sekali dikesampingkan,” katanya.

MTHQK 2024, program anjuran JAKIM dengan kerjasama Kerajaan Negeri Pahang berlangsung selama enam hari bermula hari ini dan menampilkan 110 peserta dari seluruh negara.

MTHQK tahun ini dengan tema “Al-Quran Dihayati, Negara Diberkati” kali ketiga Pahang menjadi tuan rumah selepas kali pertama pada 2011 dan kedua pada 2014. – BERNAMA

 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *