BERITA UTAMA

Ten Hag ikrar selamatkan projek United

LONDON – Erik ten Hag berazam untuk menjuarai Piala FA Inggeris dan meneruskan projeknya di Manchester United ketika pengurus yang tertekan itu bersiap sedia menjelang final menentang Manchester City malam esok.

Ten Hag berjuang untuk menyelamatkan tugasnya berikutan spekulasi memuncak pemilik bersama baharu United, Jim Ratcliffe bercadang untuk memecatnya susulan musim yang terumbang-ambing.

United berakhir di tangga kelapan Liga Perdana Inggeris (EPL) – kedudukan terburuk mereka sejak 1990 – selain tersingkir daripada peringkat kumpulan Liga Juara-Juara.

Jurulatih dari Belanda itu, yang mengemudi kejayaan United merangkul trofi pertama mereka dalam tempoh enam tahun apabila mereka menang Piala Liga musim lalu, turut bertelingkah dengan Jadon Sancho dan Marcus Rashford, dilaporkan mencetus keretakan dalam bilik persalinan.

United dikaitkan dengan bos England, Gareth Southgate, bekas pengurus Chelsea, Mauricio Pochettino, bos Bayern Munich, Thomas Tuchel dan pengurus Ipswich, Kieran McKenna.

Namun Ten Hag yakin beliau boleh mengubah keadaan dengan meraih kejayaan pertama United dalam Piala FA sejak 2016, pada masa sama menebus kekalahan di tangan City pada peringkat sama pertandingan itu musim lalu dan memastikan kelabnya layak ke Eropah.

Ditanya sama ada final itu mungkin perlawanan terakhirnya sebagai pengurus United, Ten Hag ketawa dan memberitahu wartawan: “Saya tiada apa untuk diperkatakan. Saya hanya fokus terhadap tugas yang perlu saya laksanakan.

“Tugas itu adalah memenangi perlawanan pada Sabtu ini dan kemudian kami masih mempunyai projek. Kami akan meneruskan projek ini.

“Selepas setiap musim anda menilainya semula dan lihat sama ada anda berada di landasan tepat dan apa perkara yang perlu diubah.

“Kami bercakap akhir-akhir ini mengenainya. Ada pemain yang meningkat dan nilai mereka juga meningkat.”

City dinobat juara EPL bagi kali keempat berturut-turut hujung minggu lalu, menyaksikan mereka meraih enam kejuaraan dalam tujuh tahun. – AFP

 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *