BERITA UTAMA

Isteri polis mengaku tidak bersalah cederakan suami, ibu mentua guna racun

KUANTAN – Isteri seorang pegawai polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas dua pertuduhan sengaja mendatangkan kecederaan dengan cara menggunakan racun terhadap suami dan ibu mentuanya, lima tahun lalu.

Datuk Mou Ei Leen @ Eileen Mou, 42, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azman Mustapha.

Mengikut pertuduhan pertama, ibu kepada dua anak itu didakwa melakukan perbuatan terbabit terhadap suaminya di sebuah rumah di Lorong Seri Kuantan 23 di sini, pada Julai 2019.

Bagi pertuduhan kedua, wanita berkenaan didakwa melakukan perbuatan itu terhadap ibu mentuanya di sebuah rumah penjagaan warga emas di Sara’s Home for The Aged di Lorong Seri Kuantan 59 di sini, pada Jun 2020.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 328 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh boleh sampai 10 tahun dan boleh juga dikenakan denda.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin dan Aqharie Durranie Aziz, manakala tertuduh diwakili peguam Datuk Bob S Arumugam.

Terdahulu, Raja Zaizul Faridah mencadangkan wang jaminan sebanyak RM15,000 bagi setiap pertuduhan dengan syarat tambahan tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis terdekat dan menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah sehingga selesai perbicaraan.

Bagaimanapun, peguam tertuduh merayu jaminannya dikurangkan kerana tertuduh adalah seorang ibu kepada dua anak yang masih bersekolah berusia 12 dan 15 tahun.

Hakim kemudian memerintahkan tertuduh untuk membayar jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan, menyerahkan pasport antarabangsa dalam masa tujuh hari kepada mahkamah serta tidak boleh mengganggu saksi pendakwaan sehingga selesai perbicaraan.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 27 Jun ini. – BERNAMA

 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *