KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO mendesak portal MalaysiaKini menurunkan artikel yang menggelar Universiti Teknologi Mara (UiTM) sebagai sebuah ‘Akademi Apartheid’.
Ketuanya, Dr. Akmal Saleh menggesa penulis artikel itu, Andrew Sia memohon maaf dengan segera di atas keceluparannya.
Beliau menegaskan, Pemuda UMNO akan digerakkan di seluruh negara untuk membuat laporan polis terhadap MalaysiaKini dan juga Sia.
“Penulis ini dengan mudah dan sewenang-wenangnya menuduh institusi pengajian keramat bangsa Melayu, UiTM sebagai sebuah ‘Akademi Apartheid’.
“UiTM digambarkan sebagai sebuah legasi sifat perkauman Melayu yang benci dan zalim kepada kaum lain. Begitulah legasi warisan benteng terakhir bangsa kita dihina pada zaman kini.
“Kita sedia maklum, Apartheid ini merupakan suatu dasar segregasi kaum yang begitu zalim… Apabila tuduhan keji seperti ini dilemparkan kepada institusi pendidikan kami, apakah tidak boleh hati kami terbakar?,” soalnya dalam kenyataan hari ini.
Kata Dr. Akmal, untuk memperbetulkan kefahaman ramai, UiTM dibina bagi melonjakkan taraf pendidikan serta penguasaan bidang oleh orang Melayu dan bumiputera.
Katanya, ia dibangunkan bukan untuk menindas kaum lain, tetapi membela bumiputera yang ketinggalan dalam negara sendiri dan inilah semangat di belakang Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.
“Adakah UiTM simbol penindasan kepada kaum lain? Sudah tentu tidak. Kerajaan Malaysia yang majoritinya orang Melayu ini tetap sahaja membenarkan pendidikan ‘tanah asal’ seperti di SJK(C) dan di SJK(T).
“Siapa yang sejak awal membelah perpaduan melalui pendidikan ini? Itupun kita terima dengan berlapang dada sebab kita tahu kepentingan membela hak budaya.
“UiTM inilah sahaja medan pendidikan Bumiputera yang ada. IPT lain semua terbuka buat semua kaum. Inilah sahaja tempat Bumiputera untuk mengubah destini mereka,” katanya lagi. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252