BERITA UTAMA

Helikopter terhempas: Iran minta tolong, Amerika terpaksa menolak

WASHINGTON – Amerika Syarikat (AS) terpaksa menolak daripada membantu Iran, yang meminta pertolongan selepas helikopter yang membawa Presiden Ebrahim Raisi terhempas pada hujung minggu lalu, sebahagian besarnya atas sebab-sebab logistik.

Permintaan bantuan yang jarang-jarang dibuat negara yang melihat Amerika Syarikat dan Israel sebagai musuhnya itu, didedahkan oleh Jabatan Negara dalam satu sidang media.

“Pemerintah Iran telah meminta bantuan kami (AS). Kami maklumkan kepada Iran kami akan menawarkan bantuan, sebagaimana yang akan dilakukan terhadap sebarang permohonan oleh negara asing dalam situasi sebegini.

“Bagaimanapun, pada dasarnya, kami tidak dapat menyediakan bantuan itu sebahagian besarnya atas sebab-sebab logistik,” kata jurucakap Jabatan AS, Matthew Miller kepada wartawan pada Isnin

Miller, bagaimanapun, enggan menjelaskan secara terperinci atau menerangkan bagaimana kedua-dua negara berkomunikasi.

Bangkai helikopter yang terhempas pada Ahad dan membawa Presiden Ebrahim; Menteri Luar, Hossein Amirabdollahian serta tujuh penumpang lain serta anak kapal, ditemui pada awal Isnin selepas misi pencarian dijalankan semalaman di tengah-tengah ribut salji.

Iran belum memberikan sebarang kenyataan rasmi mengenai punca helikopter Bell 212 buatan Amerika itu terhempas di kawasan pergunungan, berdekatan sempadan Azerbaijan.

Ditanya sama ada beliau bimbang Tehran mungkin akan menyalahkan Washington, Setiausaha Pertahanan AS, Lloyd Austin berkata: “Amerika Syarikat tidak memainkan sebarang peranan dalam nahas itu.

“Saya tidak boleh membuat sebarang spekulasi mengenai puncanya,” tambah beliau.

Kemalangan itu berlaku di saat Iran berdepan dengan pelbagai kemelut politik, sosial dan ekonomi.

Pentadbiran Iran berdepan dengan tekanan antarabangsa mengenai program nuklear yang dipertikaikan, mahupun hubungan tenteranya dengan Rusia yang semakin erat berikutan perang di Ukraine.

Dalam masa sama,, Austin menyangkal Amerika mempunyai kebimbangan bahawa nahas tersebut akan mempunyai kesan keselamatan segera di Timur Tengah.

“Saya umumnya tidak menjangkakan sebarang kesan keselamatan serantau pada masa ini,” kata beliau.

Di bawah perlembagaan Republik Islam itu, satu pilihan raya presiden perlu diadakan dalam tempoh 50 hari. – Agensi

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *