TEHRAN – Sebuah helikopter yang membawa Presiden Iran, Ebrahim Raisi dilaporkan terhempas di barat laut Iran pada semalam.
Presiden Raisi dalam penerbangan pulang dari satu majlis merasmikan sebuah empangan di sempadan Iran dan Azerbaijan apabila helikopter dinaikinya itu terhempas ketika hendak mendarat di Wilayah Varzaqan.
Helikopter itu turut dilaporkan membawa Menteri Luar Iran, Hossein Amirabdollahian.
Menteri Dalam Negeri berkata, anggota penyelamat masih berusaha untuk sampai ke lokasi disebabkan keadaan cuaca kurang baik.
Keadaan mereka yang berada dalam helikopter itu masih tidak diketahui ketika masa ini, dengan laporan penumpang di dalam helikopter masih tidak dapat dihubungi lagi.
Dalam masa sama, menurut seorang wartawan dengan agensi berita Fars, kabus tebal menyukarkan pencarian di lokasi.
Beliau berkata, jarak penglihatan di kawasan pergunungan dan berhutan itu menurun kepada kira-kira lima meter sahaja yang mana lokasi terletak kira-kira 50km ke utara Tabriz.
Ahli Parlimen Iran bandar Tabriz, Ahmad Alirezabeigi memberitahu wartawan di Tehran, pekerja penyelamat belum menemui lokasi helikopter yang membawa Presiden dan Menteri luar itu.
Helikopter yang membawa presiden itu dilaporkan terhempas berhampiran dengan lombong tembaga Sungun.
Lokasi terletak di antara Jofa dan Varzaqan di wilayah Azerbaijan Timur Iran dan kira-kira antara 70km (43 batu) hingga 100km (62 batu) dari bandar Tabriz, salah satu bandar terbesar di Iran dan juga menjadi destinasi tujuan Presiden Iran dan Menteri Luar.
Bulan Sabit Merah Iran memaklumkan mereka telah mengarahkan 40 pasukan berasingan ke lokasi berkenaan.
Setakat ini pasukan tiba di kawasan itu, namun tidak ke tempat di mana helikopter itu baharu terhempas disebabkan keadaan cuaca yang teruk.
Helikopter terhempas: Nasib Presiden Raisi belum diketahui
Nasib Presiden Iran Ebrahim Raisi dan Menteri Luarnya yang terlibat dalam nahas sebuah helikopter ketika melintasi kawasan pergunungan dalam kabus tebal masih belum diketahui.
Seorang pegawai berkata, nyawa Raisi dan Hossein Amirabdollahian berada dalam risiko berikutan nahas itu.
Laporan awal menyatakan Raisi dalam perjalanan pulang dari lawatan ke sempadan Azerbaijan di barat laut Iran.
Pegawai itu menambah, pihaknya meletakkan harapan yang tinggi namun maklumat yang diterima dari tapak nahas sangat membimbangkan.
TV kerajaan memetik seorang pegawai berkata, sekurang-kurangnya seorang penumpang dan seorang anak kapal telah berhubung dengan pasukan penyelamat.
Ia juga berkata, helikopter itu telah ditemui walaupun pasukan Bulan Sabut Merah Iran menafikan laporan ini.
Persatuan Bulan Sabut Merah Azerbaijan berkongsi rakaman menunjukkan pasukan penyelamat sedang bertungkus lumus dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR).
Cuaca buruk telah menyukarkan lagi usaha menyelamat, lapor agensi berita negara IRNA.
Bagaimanapun maklumat dan lokasi SAR berkenaan tidak dapat disahkan secara tepat.
Pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei berusaha untuk meyakinkan rakyat Iran bahawa urus tadbir negara tidak terjejas.
Orang ramai turut dilihat berkumpul di ibu negara Iran, Tehran bagi bersama-sama melakukan solat hajat dan berdoa susulan insiden nahas helikopter berkenaan.
Rakyat Iran terus mendoakan kesejahteraan Raisi dan bersedia dengan apa jua kemungkinan.
Sementara itu, media kerajaan berkata, cuaca buruk menjadi punca nahas sekali gus merumitkan usaha menyelamat.
Agensi berita negara IRNA berkata, Raisi menggunakan helikopter Bell 212 buatan Amerika Syarikat (AS) dalam lawatan kerja itu.
Ketua kakitangan tentera Iran mengarahkan semua sumber tentera dan Pengawal Revolusi Elit digunakan dalam operasi mencari dan menyelamat.
Penyiar nasional itu sebelum ini menghentikan semua rancangan tetapnya bagi menyiarkan bacaan doa.
Dalam pada itu, White House berkata, Presiden AS Joe Biden telah diberi taklimat mengenai nahas itu.
Sementara Turki berkata, ia telah menawarkan dron, helikopter, kenderaan dan pasukan penyelamat selepas menerima permintaan daripada pihak berkuasa Iran.
Malah Kesatuan Eropah menawarkan teknologi pemetaan satelit kecemasan. – Astro Awani
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252