Penduduk kawasan terjejas mula simpan air hadapi gangguan bermula hari ini

Operator air di Johor diberi amaran tindakan tegas jika masalah tak selesai

ISKANDAR PUTERI – Kerajaan Johor memberi amaran akan mengambil tindakan tegas terhadap operator air negeri jika isu bekalan air tidak diatasi sepenuhnya.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi turut menyuarakan kekesalannya berikutan isu bekalan air di negeri ini terus berlarutan sehingga kini.

Onn Hafiz berkata, isu bekalan air bukan sahaja berlaku di Bukit Permai, Gambir dan Layang-Layang pada perayaan Aidilfitri lalu malah masalah sama turut dilaporkan berlaku dengan kerap di kawasan-kawasan lain.

“Seperti yang dititahkan oleh Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, baginda kecewa apabila gangguan bekalan air berlaku pada musim perayaan Aidilfitri lalu di beberapa kawasan.

“Insya-Allah, kerajaan negeri tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas kepada syarikat dan agensi yang terbabit,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membuat penggulungan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, di sini hari ini.

Pada 9 Mei lalu, Tunku Mahkota Ismail dilaporkan menzahirkan rasa kecewa baginda atas insiden gangguan bekalan air yang berlaku di negeri ini ketika perayaan Aidilfitri, bulan lalu.

“Perkara ini tidak boleh berlaku lagi pada masa akan datang. Saya ingin tegaskan air Johor adalah kedaulatan dan khazanah negeri yang dijaga dan dipelihara dengan penuh tanggungjawab,” titah baginda ketika merasmikan pembukaan Persidangan Ketiga DUN Johor ke-15.

Mengulas lanjut, Onn Hafiz yang juga Ahli Dewan Undangan Undangan (ADUN) Machap menggesa Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) mengambil tindakan serius berhubung teguran Pemangku Sultan Johor itu.

“SPAN selaku badan pengawal perlu bertanggungjawab dan memberi perhatian serius ke atas titah Tunku Mahkota Ismail,” katanya. – Berita Harian

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *