BERITA UTAMA

Nama Melayu

Oleh: Abdul Muati Ahmad

CATATAN menunjukkan nama orang Melayu dulu-dulu asalnya adalah daripada perkataan Melayu harian seperti Buyong, Itam, Putih, Golok, Panjang, Bulat dan sebagainya.

Yang perempuan pula biasanya mengambil nama bunga seperti Melati, Kemboja, Kenanga, Tanjung dan sebagainya. Nama-nama ini boleh dieja dengan sistem tulisan Pallava dan bunyinya tepat seperti sebutan.

Perubahan masa dan pengaruh Arab serta Islam kemudiannya menyebabkan orang Melayu mengambil nama Arab. Maka datanglah nama seperti Hasan, Husin, Ahmad, Muhammad, Ali, Mustofa, Siti Aminah, Khodijah, Rofeah dan sebagainya.

Sistem ejaan Pallava tidak mampu membawa bunyi yang tepat. Mustofa umpamanya dieja Pallava berbunyi Muntopa, Qosim berbunyi Kesim.

Maka orang Melayu mengambil sistem ejaan Arab kemudian diMelayukan dengan penambahan beberapa huruf supaya sesuai dengan bunyi Melayu seperti cha, pa, nga, nya dan lain-lain. Sistem tulisan ini disebut Jawi.

Lama-lama orang Melayu semakin kreatif mencipta nama mereka. Ada yang digabung dengan nama Arab dan nama etnik lain. Kadang-kadang digabung tanpa makna yang baik. Umpamanya Muhammad Himar (keldai), Hawiah (nama neraka) dan lain-lain.

Ada juga nama yang tidak menggambarkan jantina (nama unisex) seperti Zaini, Roslin dan sebagainya yang boleh untuk lelaki dan boleh untuk perempuan. Ada yang tambah Mohamad Zaini, maka jadilah lelaki dan Noor Zaini jadi perempuan.

Dahulu, pendaftaran nama anak dibuat di balai polis. Masa itu ramai bapa dan atok yang tak pandai menulis. Jadi bergantung kepada polis untuk menulis. Itu yang jadi macam-macam.

Kawan saya namanya Amran, tapi dieja Amaran oleh polis. Seorang lagi kawan saya orang Melayu totok, tapi namanya Ngajijah binti Sungib. Katanya polis itu yang Jawa. Sepatutnya namanya Azizah binti Shuib.

Ada seorang lagi bapa saudaranya sengau. Dia pergi daftar nama. Sepatutnya Lokman, dah jadi Okwan. Ada juga yang atoknya terkejut sebab disergah polis Benggali. Sepatutnya nak namakan Ani. Disergah polis langsung lupa lalu disebut Anu. Bila dah sekolah, baru diubah nama jadi Anu @ Ani binti Abdullah.

Kawan saya seorang lagi di sekolah dulu namanya Muhammad Saja bin Ibrahim. Katanya, polis tanya bapa saudaranya nak namakan apa? Dijawab Muhammad. Polis tanya lagi Muhammad apa? Dijawab Muhammad saja. Dah ditulisnya Muhammad Saja.

Ada seorang itu saya pernah jumpa namanya Pukaih. Saya tanya dia kenapa pelik sangat namanya. Dia jawab atok dia yang pergi daftar. Atok dia jenis suka melatah. Tengah nak bagi nama, (tiba-tiba) siren balai polis bunyi. Dia terkejut dan sebut ‘pukaih’. Langsung nama cucu ditulis Pukaih bin Ismail.

Jadi, bila nama sudah jadi macam-macam, orang pun salahkan polis. Sekarang polis dah tak mau terlibat. Mereka suruh ibu atau bapa tulis sendiri nama anak.

Apa ada pada nama? Nama adalah lambang keperibadian. Nama adalah doa. Maka berilah nama yg baik-baik. – NasionalDaily

Dipetik dari FB Abdul Muati Ahmad

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *