BERITA UTAMA
Faiz Fadzil

Amanah kutuk serangan Balai Polis mengorbankan anggota keselamatan

KUALA LUMPUR – Parti Amanah Negara (Amanah) mengutuk sekeras-kerasnya insiden serangan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor Bahru awal pagi tadi yang mengorbankan dua anggota pasukan keselamatan dan seorang lagi cedera.

Pengerusi Amanah Pulau Pinang, Faiz Fadzil berkata, seluruh kepimpinan dan ahli parti itu berdukacita dengan kejadian, yang menurut kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, suspek dipercayai ahli Jemaah Islamiyah (JI).

Katanya, susulan itu juga polis turut menahan lima anggota keluarga suspek bagi membantu siasatan.

“Amanah mengutuk sekeras-kerasnya sebarang perlakuan yang boleh mengganggu-gugat ketenteraman negara.

“Islam merupakan agama yang menyeru kepada kedamaian dan melarang sebarang bentuk keganasan serta mengancam keselamatan awam.

“Justeru, siasatan menyeluruh dan bebas perlu dijalankan supaya tiada mana-mana pertubuhan dibenarkan terkait dengan pemikiran keganasan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Razarudin dalam sidang media petang ini memaklumkan, suspek telah membuat persediaan dengan memakai pelindung badan dan dipercayai mahu merampas senjata api.

Katanya, lelaki berusia 21 tahun itu yang dikaitkan dengan JI menggunakan sejenis beg sebagai pelindung dilengkapi zink, kertas dan kain, dipercayai persediaan untuk bertempur dengan polis.

Menurut Faiz, Amanah mengucapkan takziah kepada keluarga anggota polis yang terkorban dalam insiden itu dan mendoakan yang cedera parah kembali sihat sepenuhnya.

“Diharapkan mereka tabah dengan menghadapi ujian ini,” katanya. – NasionalDaily

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *