Peletakan jawatan Mohammed Iqbal sebagai Presiden MCA tanpa tekanan

SHAH ALAM – Peletakan jawatan Presiden Persatuan Kriket Malaysia (MCA), Mohammed Iqbal Ali bukan satu rampasan kuasa kerana ia dibuat secara sukarela tanpa tekanan olehnya.

Mendedahkan perkara itu, seorang pemimpin badan induk berkenaan turut mendedahkan rakaman video pengumuman peletakan jawatan yang dibuat oleh Mohammed Iqbal secara sukarela atas kehendaknya sendiri.

“Mohammed Iqbal meletakkan jawatan atas kehendaknya sendiri, bukan tekanan mana-mana pihak. Beliau yang memilih untuk berbuat demikian.

“Beliau yang bertindak meletakkan jawatan sebagai Presiden MCA tanpa dipaksa oleh mana-mana pihak.

“Sebenarnya isu ini tidak berbangkit lagi, kita ada rakaman video ketika beliau mengumumkan peletakan jawatan. Perkara itu bukan isu lagi dan beliau sememangnya tidak boleh lagi menggunakan jawatan itu,” katanya yang turut berkongsikan rakaman video berkenaan kepada media.

Pada 13 April tahun lalu, Mohammed Iqbal mengumumkan peletakan jawatan yang disandangnya sejak 2021 berkuat kuasa serta merta.

“Kriket adalah sukan yang berteraskan integriti, semangat kesukanan dan peraturan yang dihormati oleh jutaan pemain di seluruh dunia.

“Dengan meletak jawatan hari ini, saya mempertahankan integriti saya. Kecintaan saya terhadap sukan ini tidak akan luntur, begitu juga dengan tekad saya untuk melihat bendera negara kita berkibar di persada antarabangsa,” katanya dalam kenyataan.

Untuk rekod, pemimpin MCA mengemukakan saman pemula terhadap Mohammed Iqbal dan beberapa bekas Exconya berhubung isu jawatan dalam badan induk itu.

Prosiding kes berkenaan yang dikendalikan Hakim Datuk Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan dijangka membuat keputusan berhubung pertikaian itu Isnin ini.

Prosiding bermula Oktober 2025 yang berlanjutan sehingga kini itu bagi memohon Mohammed Iqbal Ali dan barisan kepimpinannya, termasuk Dr. Arun Kumar dan Amarjeet Singh tidak lagi menggunakan jawatan dalam MCA selepas peletakan jawatan mereka sebelum ini.

Januari lalu, pasukan guaman mewakili Mohammed Iqbal Ali memfailkan permohonan agar saman sivil yang difailkan terhadap beliau dan barisan Exco dibatalkan dengan peguamnya, Datuk Seri Rajan Navaratnam berkata, plaintif bertindak terlalu awal dengan memfailkan saman tersebut.

Sebelum ini, media melaporkan Mohammed Iqbal Ali mengumumkan peletakan jawatan sebagai Presiden MCA pada 13 April tahun lalu, namun difahamkan beliau menarik semula keputusan itu dan memutuskan untuk meneruskan tugas sehingga tamat penggal semasa.

Sementara itu, seorang lagi pemimpin badan induk yang enggan namanya disiarkan berkata, Mohammed Iqbal dan barisan Exconya tewas dalam pemilihan MCA yang lalu.

“Walaupun beliau melepaskan jawatan, namun namanya turut dicalonkan dan akhirnya tewas dalam pemilihan itu. Begitu juga dengan kumpulannya yang bertanding jawatan Exco hampir kesemuanya tewas dalam pemilihan,” katanya.

Oleh itu tidak berbangkit lagi beliau masih mempunyai jawatan dalam persatuan.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *