BERMULA selaku pasukan bukan pilihan yang meletakkan sasaran awal hanya sekadar untuk mara ke penentuan separuh akhir musim ini, kini bertukar menjadi misi getir buat Terengganu untuk bermatian kembali ke pentas akhir kejuaraan ragbi Piala Agong setelah pertama kali merangkul kejuaraan pada tujuh tahun lalu.
Namun, bukan laluan mudah setelah pencabar yang menanti di Stadium UiTM Shah Alam pada Ahad ini adalah pasukan dari selatan tanah air yang telah berhempas pulas pada dua edisi lalu berturut-turut mara ke perlawanan akhir untuk perebutan piala kejuaraan ragbi paling berprestij ini.
Menambah sensasi perebutan akhir kejuaraan musim ini adalah pertembungan taktikal untuk Terengganu mempertaruhkan anak jati negeri bagi mengemudi pasukan, manakala Johor masih menagih percaturan bekas kapten pasukan All Black, Rodney So’oialo yang perlu melunaskan kejuaraan sejak membimbing pasukan untuk musim kedua ini.

Bagi Hafiizh Zainal yang pertama kali diberi kepercayaan untuk membimbing pasukan negeri kelahirannya melihat situasi perlawanan akhir ini pasti sengit seawal minit pertama perlawanan.
“Situasi berbeza untuk Terengganu walaupun kedua-dua pasukan ini mara ke pusingan akhir dengan rekod tanpa kalah sepanjang kempen musim ini. Kami tidak meletakkan situasi itu sebagai kayu ukuran bertemu Johor yang hadir dengan reputasi besar dan kelebihan tersendiri berbanding kami yang bermula selaku pasukan bukan pilihan untuk musim ini.
Iklan

“Johor berhempas pulas setelah dua kali mara ke penentuan akhir sebelum ini. Kita menjangkakan tekanan buat kedua-dua pasukan seawal minit pertama permainan nanti, sudah tentu setiap pasukan mempertaruhkan taktikal berbeza untuk perlawanan akhir ini,” katanya.
Mengulas lanjut persiapan pasukan dari Pantai Timur ini, Terengganu kini siap siaga sepenuhnya tanpa sebarang kekangan yang mampu merencatkan taktikal pasukan untuk bertemu Johor nanti.
Perlawanan akhir edisi ke-42 ini dijadual berlangsung pada jam 4.45 petang Ahad ini, manakala perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat antara PDRM dan Kelantan akan berlangsung lebih awal pada jam 2 petang di Stadium UITM, Shah Alam.

Terdahulu sewaktu penentuan separuh akhir, Terengganu membuat kejutan setelah menyingkirkan PDRM selaku juara bertahan tiga kali berturut-turut, manakala Johor pula mengatasi cabaran Kelantan untuk mengesahkan penampilan ketiga berturut-turut di pentas akhir bagi musim ini.
Untuk rekod, kali terakhir kedua-dua finalis ini bertembung di pentas akhir kejuaraan ragbi Piala Agong adalah pada tahun 2017 setelah Johor menafikan Terengganu di laman sendiri berkeputusan 32-29.
Johor telah pernah dua kali merangkul kejuaraan pada tahun 2013 dan 2017, manakala untuk Terengganu pertama kali melakar sejarah kejuaraan pada tahun 2019.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L