BERITA UTAMA

Imigresen Kelantan dakwa 15 pendatang di Mahkamah Sesyen Khas

KOTA BHARU – Jabatan Imigresen Kelantan telah mendakwa 15 pendatang di Mahkamah Sesyen Khas di Pasir Mas semalam.

Timbalan Pengarah Imigresen (Pengurusan) Kelantan Nik Akhtarulhaq Nik Abdul Rahman berkata pendakwaan dilakukan di hadapan Hakim Badrul Munir Mohd Hamdy.

Beliau berkata enam lelaki warga Myanmar dan dua lelaki warga Thailand didakwa di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 manakala dua lelaki warga Bangladesh, tiga lelaki warga Pakistan dan seorang lelaki warga Thailand didakwa mengikut Seksyen 15(1)(c) akta sama.

Turut didakwa seorang lelaki warga Pakistan di bawah Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

“Kesemua pendatang yang berusia antara 19 hingga 48 tahun itu ditangkap dalam Op Kutip sekitar Kota Bharu dan Bachok pada 3 Mei lepas,” menurutnya dalam kenyataan di sini.

Nik Akhtarulhaq berkata setelah selesai pendakwaan, 14 lelaki telah dihantar ke Penjara Satelit Pasir Mas untuk menjalani hukuman penjara kerana gagal membayar denda manakala warga Pakistan yang membayar denda dihantar ke Depot Imigresen Tanah Merah untuk pemindahan pendatang asing ke negara asal.

Beliau turut menggesa orang ramai agar tampil menyalurkan maklumat mengenai kehadiran pendatang tanpa izin atau sebarang aktiviti warga asing yang menyalahi undang-undang dan berkata tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana pihak yang mendalangi, memudah cara dan bersubahat dalam melindungi mereka. – BERNAMA

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *