BERITA UTAMA

Kementerian Komunikasi beri keutamaan artis veteran dalam majlis, program

PUTRAJAYA – Artis veteran akan menjadi keutamaan dalam majlis atau program Kementerian Komunikasi bagi membuat persembahan untuk memastikan golongan berkenaan dapat terus berkarya.

Menterinya, Fahmi Fadzil berkata, Ketua Setiausaha (KSU) kementerian, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa sudah dimaklumkan bagi melaksanakan pendekatan itu, selain turut disarankan untuk dilaksanakan di peringkat agensi dan jabatan di bawah kementerian.

“Sebarang majlis anjuran Kementerian Komunikasi yang memerlukan kehadiran artis luar, perlu mengutamakan artis veteran… Sila pertimbangkan dan beri peluang artis veteran terus tabur bakti kepada negara dan beri mereka peluang selain menggalakkan mereka berkarya.

“Inisiatif ini dapat meringankan beban artis veteran yang sering kali kita lihat menempuh hari-hari sukar dan mencabar, usaha ini bersesuaian dengan inisiatif kementerian yang akan sentiasa menyantuni masyarakat, khususnya mereka yang pernah menghiburkan kita pada suatu masa dahulu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2023 Kementerian Komunikasi (Zon Semenanjung) di sini, hari ini.

Fahmi berkata, pendekatan menyantuni bakat seni veteran itu dilaksanakan bagi memastikan mereka tidak berasa terasing.

“Saya nak kita beri peluang artis veteran kita… Sebab sering kali kita jemput yang muda dan kacak, yang veteran juga ada masih kacak dan ia tidak jadi masalah,” katanya sambil menambah, pendekatan itu selaras tanggungjawab kementerian terhadap industri kreatif negara.

Sementara itu, Fahmi berkata, penstrukturan semula Kementerian Komunikasi dan Digital, yang dipisahkan kepada Kementerian Komunikasi dan Kementerian Digital pada 12 Disember lalu meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan kerajaan kepada masyarakat.

“Walaupun ada perubahan portfolio, tugas dan peranan yang dipikul adalah masih sama, iaitu bagi memastikan mutu penyampaian perkhidmatan kerajaan kepada masyarakat masih pada tahap tertinggi. Kita sentiasa bekerjasama dalam tugasan tertentu melalui kolaborasi strategik yang berkesan.

“Justeru kita perlu memainkan peranan ini dengan penuh dedikasi dan amanah. Jika perkhidmatan awam perlu bekerjasama dengan pihak swasta dalam usaha memajukan negara, maka laksanakanlah,” katanya.

Seramai 522 warga Kementerian Komunikasi menerima sijil penghargaan dan insentif bernilai RM1,000 sempena APC hari ini, termasuk 63 penerima daripada Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA).

Yang turut hadir Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching, Mohamad Fauzi serta Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Bernama, Nur-ul Afida Kamaludin. – BERNAMA

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *