BERITA UTAMA

Aksi Selangor-Kedah ubati rindu kepada Faisal

KUALA LUMPUR – Ketiadaan Faisal Halim pasti akan dirasai skuad Selangor FC dan penyokong Gergasi Merah dalam aksi Liga Super menentang Kedah Darul Aman (KDA) FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Sabtu ini.

Perlawanan menentang KDA FC menjadi aksi sulung buat Selangor bagi saingan Liga Malaysia (Liga M) 2024-2025 selepas mereka menarik diri dari perlawanan Piala Sumbangsih berdepan JDT, Jumaat lalu.

Namun, apa yang akan menjadi kerinduan buat Gergasi Merah adalah kelibat Faisal atau Mickey yang kini sedang dirawat di hospital selepas pemain itu menjadi mangsa simbahan asid, 5 Mei lalu.

Lapor Berita Harian, susulan itu, Selangor menganjurkan solidariti pada minit ketujuh aksi berdepan KDA nanti sebagai tanda penghormatan kepada pemain berusia 26 tahun itu.

Semua penyokong diminta berdiri dan memberikan tepukan kepada Faisal yang menggunakan jersi ‘nombor 7’ dalam pasukan Gergasi Merah.

Malah, kali terakhir Selangor menentang KDA di Stadium MBPJ dalam aksi Liga Super 2023 pada 24 Mei tahun lalu, Faisal turut melakar kenangan manis apabila menyumbang satu gol dengan Gergasi Merah menang 3-2 dalam aksi itu.

Faisal meledak gol itu pada minit ke-40 dan menjadi jaringan penyamaan Selangor selepas ketinggalan 2-1 sebelum Noor Al Rawabdeh menyumbat gol kemenangan Gergasi Merah.

Pengendali Selangor, Nidzam Jamil dilaporkan berkata pasukannya sudah bersedia untuk mengharungi aksi sulung musim ini tanpa Faisal dengan pasukannya memberi fokus untuk mendapatkan kemenangan.

“Saya sendiri, pemain dan barisan pengurusan sedih tentang apa yang berlaku. Tapi saya fikir kita banyak belajar tentang situasi ini.

“Cuma kita gembira semua orang kembali fokus dan kembali berfikir untuk pasukan. Kita tak sabar untuk bermain perlawanan dengan Kedah nanti,” katanya.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *