BERITA UTAMA

Protes kehadiran syarikat bekal senjata kepada Israel, Tian Chua dipanggil polis

KUALA LUMPUR – Jurucakap Sekretariat Solidariti Palestin (SSP), Tian Chua dipanggil memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di sini, hari ini.

Ia berhubung bantahan di hadapan Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (Mitec) di sini, pada 7 Mei lalu.

Tian Chua berkata, selain dirinya, beberapa wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) juga dipanggil untuk dirakam keterangan di IPD Sentul, hari ini.

“Saya dipanggil oleh polis untuk disoal siasat berkaitan protes pada Selasa lalu yang dibuat kerana beberapa syarikat membekalkan senjata kepada Israel turut hadir dalam program berkenaan.

“Pada pandangan kami, jemputan syarikat terbabit dalam program itu bertentangan dengan hasrat dan pendirian kerajaan Malaysia yang memberi sokongan penuh terhadap perjuangan Palestin.

“Ini boleh dilihat menerusi pertemuan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dengan pemimpin Hamas di Qatar, baru-baru ini,” katanya ketika ditemui di hadapan IPD Sentul, di sini, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya tidak dimaklumkan lebih terperinci oleh polis berhubung siasatan dilakukan dalam kes terbabit.

“Saya tidak tahu kes ini disiasat mengikut seksyen apa. Cuma dimaklumkan oleh pegawai penyiasat kes ini disiasat mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012.

“Saya akan memberikan kerjasama penuh dengan polis dalam siasatan kes ini,” katanya yang selesai merakam keterangan jam 12.20 tengah hari tadi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari ketika dihubungi, mengesahkan Tian Chua dipanggil memberi keterangan, hari ini.

“Beliau dipanggil bagi memberi keterangan bagi membantu melengkap siasatan (kes itu) mengikut Seksyen 9 (5) Akta Perhimpunan Aman 2012,” katanya.

Pada 7 Mei lalu, media melaporkan SSP menggesa penganjur Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2024 lebih sensitif terhadap konflik dan penderitaan rakyat di Palestin.

Sebelum itu, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan menggesa Kementerian Pertahanan mengambil tindakan tegas dan mengarahkan syarikat yang menjadi pembuat senjata kepada Zionis untuk keluar dari Malaysia dengan segera.

Susulan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan sama sekali tidak akan membenarkan mana-mana syarikat yang berdaftar di Israel untuk melakukan sebarang aktiviti di negara ini. – Harian Metro

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *