KLANG – Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini, membenarkan permohonan seorang pemuda yang didakwa membunuh kekasihnya yang hamil pada tahun lalu, dirujuk kepada pakar psikiatri bagi menjalani pemeriksaan mental.
Kebenaran itu dikeluarkan Timbalan Pendaftar Mohd Hirman Ab Raub selepas mendengar permohonan dibuat pihak pembelaan tertuduh, Muhammad Fakrul Aiman Sajali, 21.
Peguam, Muhammad Nor Tamrin berkata, sebelum ini, pihaknya mengemukakan permohonan berkenaan di Mahkamah Majistret Sungai Besar pada September 2023, namun ditolak.
“Majistret ketika itu berpandangan bahawa ia berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi Malaya untuk didengar dan diputuskan.
“Permohonan merujuk anak guam saya kepada pakar psikiatri bagi pemantauan lanjut itu dibuat mengikut peruntukan Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah,” katanya.
Timbalan Pendakwa Raya Rosnee Mohd Radzuan tidak membuat sebarang bantahan berhubung permohonan yang dibuat pihak pembelaan menerusi prosiding sebutan kes itu hari ini.
Mohd Hirman kemudian menetapkan 23 Julai ini sebagai tarikh sebutan semula kes bagi penyerahan laporan psikiatri dan dokumen lain.
Mahkamah Majistret Sungai Besar pada 21 Mac lalu, memerintahkan kes Muhammad Fakrul Aiman yang didakwa membunuh seorang wanita hamil di Jalan Sungai Limau di Sungai Besar, Sabak Bernam dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Klang.
Pada 1 Jun tahun lalu, Muhammad Fakrul Aiman didakwa membunuh Nur Anisah Abdul Wahab, 21, di Jalan Sungai Limau antara jam 8.30 malam 22 Mei, dan jam 8 pagi 23 Mei 2023, mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati, jika sabit kesalahan.
Media sebelum ini melaporkan, perselisihan faham untuk menyembunyikan kehamilan di luar nikah dipercayai punca seorang pelayan restoran dibunuh secara kejam dengan ditikam, dikelar perut dan dibakar teman lelakinya di sekitar kebun kelapa sawit di Jalan Sungai Limau pada 22 Mei 2023. – Harian Metro
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252