KUALA LUMPUR – Selepas muncul di Persidangan Teknologi Luar Pesisir (OTC) Asia 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) akhir Februari lalu, kali ini ProEight Sdn. Bhd. (ProEight), syarikat bumiputera berkaitan baik pulih pam melebarkan sayap ke Indonesia.
Dengan membawa kepakaran dan kemahiran kejuruteraan dalam perkhidmatan pam khusus untuk gas dan minyak, ProEight berada di negara itu selama tiga hari bermula semalam hingga 16 Mei ini di acara Konvensyen dan Pameran IPA ke-48 di Jakarta.
ProEight diketuai Ketua Pegawai Operasi (COO), Mohamed Effei Ramli; Jurutera Aplikasi, Muhammad Faiz Rosly; dan dibantu wakil syarikat dari Indonesia, Triyono Eddy Santoso mempamerkan kepada pengunjung perkhidmatan dan kemampuan syarikat menghasilkan semula komponen dalam pam.
“Bagi program di IPA Jakarta ini, fokus syarikat adalah mengetengahkan servis pam, Reengineer and Rejuvenate (R&R), di mana pam boleh dibaikpulih dan Proeight mampu menghasilkan semula komponen dalam pam yang telah haus dan gantikan dengan yang baharu.
“Sepanjang tiga hari ini, kita mempamerkan kebolehan unit mampatan untuk dipertingkatkan iaitu fleksikal, pemisah siklon yang dipertingkatkan (cyclodyne), pendesak yang dipertingkatkan (tripeller) dan perkhidmatan R&R.
“Alhamdulillah, sehingga hari ini, sebelum pameran ini tamat esok, gerai kami dikunjungi golongan profesional industri, wakil kerajaan, ahli akademik dan pihak berkepentingan lain,” kata Mohamed Effei.
Kata beliau, kehadiran mereka untuk membincangkan arah aliran, teknologi, cabaran dan peluang terkini dalam sektor ini, yang dimiliki ProEight, yang seratus peratus diurus serta dikendalikan anak bumiputera.
Beliau turut menjangkakan, berdasar sambutan menggalakkan pengunjung, syarikat bakal memperoleh rangkaian atau penglibatan dengan pemain industri minyak dan gas dari negara kepulauan terbesar dunia itu.
Katanya, menerusi penyertaan pameran itu, yang turut dikongsi pengalaman dengan pempamer lain, ProEight dapat menimba ilmu dan meluaskan perkhidmatan servis pam untuk syarikat serta pelanggannya.
Kata Mohamed Effei lagi, perkhidmatan yang menjadi tumpuan utama ProEight untuk diketengahkan ialah pembaharuan pam.
“Perkhidmatan kita ialah menumpukan kepada rangka kerja penerobosan untuk menghidupkan semula peralatan berputar yang usang.
“Proses unik ini, sejajar dengan piawaian API, yang menggabungkan kejuruteraan, ujian, inovasi dan sokongan untuk mengoptimumkan prestasi, ketahanan serta keberkesanan kos sambil meminimumkan masa pembaikan,” katanya.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252