KOTA BHARU – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) telah melakukan penerbangan ihsan dari Kota Bharu, Kelantan ke ibu kota Kuala Lumpur semalam.
Helikopter jenis Mi-171 (M994-03) – Bomba 04 itu membawa pesakit bayi perempuna yang mengalami “complex cyanotic heart – shone’s complex with severe pulmonary hypertension”.
Bayi itu yang berada dalam keadaan tidak sedarkan diri diterbangkan dari Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), Pengkalan Chepa, dekat sini, untuk dipindahkan ke Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur.
Menurut kenyataan JBPM, urusan membawa bayi itu ditemani empat pengiring iaitu, ibu, doktor dan dua jururawat, bersama peralatan perubatan berikutan keadaannya memerlukan alat bantuan pernafasan yang dikawal rapi doktor serta jururawat sepanjang penerbangan.

Pesawat diterbangkan PPgB Amir Fitri Salim selaku Pilot 1 dan PKPgB Ahmad Hafiz Sulaiman (Pilot 2) bersama lima kru iaitu seorang jurutera pesawat (FE) dan masing-masing dua AQM serta anggota Pasukan Khas Udara Bomba (PASKUB).
Penerbangan itu berjaya memindahkan bayi berkenaan bersama pengiring dan alatan perubatan dengan mengambil masa kira-kira 2 jam 18 minit untuk sampai ke Kuala Lumpur.
Sebaik pesawat mendarat di padang Hospital Kuala Lumpur (HKL), bayi itu terus dipindahkan ke ambulans dengan dibantu anggota PASKUB dan BBP Sentul untuk dibawa ke IJN bagi mendapatkan rawatan lanjut.
Ketika pemindahan bayi di Kelantan, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Bharu telah hadir membantu proses pemindahahan itu, dengan pesawat kembali semula ke hangar Airod, Subang sebaik tugasan selesai. – NasionalDaily
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252