KUALA LUMPUR – Colt’s Manufacturing Company LLC (Colt), yang berpangkalan di Connecticut, Amerika Syarikat, dan SME Ordnance Sdn. Bhd. (SMEO), anak syarikat National Aerospace dan Defence Industries Sdn. Bhd, menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) untuk menghasil dan membekalkan peluru senjata kecil secara bersama bagi mengukuhkan rantaian bekalan global sektor pertahanan.
Usaha sama strategik itu, dimeterai ketika berlangsungnya DSA Malaysia 2024 dan selaras dengan matlamat acara tersebut untuk mempromosikan kerjasama antarabangsa, dilakukan sebagai sebahagian daripada usaha untuk memanfaatkan peluang yang akan meningkatkan pengeluaran dan pengedaran peluru berkaliber 5.56mm untuk model M193.
MOU tersebut menzahirkan komitmen SMEO untuk menghasil dan membekalkan enam juta butir peluru secara tahunan kepada Colt selama tiga tahun.
Kerjasama ini yang didasari oleh objektif dan keupayaan bersama kedua-dua syarikat, menjadi kerangka potensi kerjasama jangka panjang yang akan menjurus kepada peningkatan daya tahan dan pengukuhan tahap kebolehpercayaan rantaian bekalan.
“Kerjasama ini bukan sahaja akan meningkatkan keupayaan rantaian bekalan tetapi ia juga selaras dengan matlamat strategik kami untuk menjamin bekalan berterusan yang boleh dipercayai buat pelanggan global kami,” kata Naib Presiden Global Bahagian Jualan Penguatkuasa Undang-undang dan Ketenteraan (MIL/LE) di Colt, Jens Heider.
“Kami teruja untuk memanfaatkan keupayaan kapasiti SMEO bagi memenuhi peningkatan dalam permintaan antarabangsa untuk peluru berkualiti tinggi,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, semalam.
MOU itu juga menekankan ciri persefahaman semasa yang bersifat tidak terikat, yang menjadi pendahulu kepada perjanjian lebih terperinci yang dijangka akan dirundingkan pada masa hadapan.
Kedua-dua pihak bersetuju untuk mematuhi perjanjian tanpa pendedahan (NDA) bagi melindungi kerahsiaan dan integriti hasrat strategik mereka.
Di samping itu, kerjasama tersebut distrukturkan untuk menghormati dan mematuhi semua undang-undang dan peraturan antarabangsa yang berkaitan, termasuk kawalan eksport AS dan kerangka perundangan Malaysia.
“Kerjasama ini tercatat sebagai satu detik penting dalam sejarah SMEO apabila kami diiktiraf setaraf dengan sebuah nama gah dalam sektor pembuatan senjata,” kata Pengerusi Eksekutif SMEO, Jeneral (B) Tan Sri Mohd Shahrom Nordin.
“Kerjasama kami dengan Colt bukan sahaja akan meluaskan keupayaan syarikat, tetapi ia juga akan mengangkat nama SMEO dalam persada industri pertahanan antarabangsa,” katanya. – NasionalDaily
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252