BERITA UTAMA

Waspada tawaran pakej haji guna visa tidak sah

KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Haji (TH) mengingatkan umat Islam di Malaysia lebih berwaspada sebarang tawaran pakej haji oleh segelintir pihak tidak bertanggungjawab yang menggunakan visa tidak sah.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Syed Hamadah Syed Othman berkata, pemberian visa haji, selain melalui kuota rasmi Malaysia adalah hak mutlak Kerajaan Arab Saudi.

Katanya, kebenaran memasuki kawasan Arafah, Mudzalifah dan Mina (Masyair) untuk menunaikan ibadat haji hanya diberikan kepada jemaah yang mempunyai visa haji yang sah.

“Visa lain bagi tujuan pelancongan, pekerjaan, perniagaan, pengajian, umrah dan sebagainya tidak akan dibenarkan oleh Kementerian Haji dan Umrah Arab,” katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, setiap kali tiba musim haji akan muncul segelintir pihak yang cuba membuat pelbagai tawaran visa dan pakej haji di luar kuota haji negara.

Oleh itu, katanya, penting untuk orang ramai memeriksa dengan teliti terlebih dahulu setiap tawaran diberikan termasuk jenis visa digunakan.

Jelas beliau, Kerajaan Arab Saudi giat memperkenalkan pelbagai inisiatif bertujuan meningkatkan kecekapan prosedur musim haji bagi kelancaran proses ibadat dan keselamatan para jemaah yang datang dari seluruh dunia.

“Kerajaan Arab Saudi turut melaksanakan kawalan keselamatan lebih ketat ketika kemuncak haji dengan sistem pengesahan jemaah yang lebih efisien bagi memeriksa setiap jemaah masuk ke kawasan Masyair.

“Oleh itu, sebarang penggunaan visa tidak sah, akan dikenakan tindakan mengikut undang-undang kerajaan tempatan dan penalti sebanyak SAR10,000,” katanya.

Justeru, TH menasihati bakal haji hanya menggunakan perkhidmatan pakej haji oleh 25 syarikat Pengelola Jemaah Haji (PJH) yang dilesenkan TH bagi Musim Haji 1445H/2024M.

Syed Hamadah berkata, mana-mana individu atau agensi pelancongan menawarkan perkhidmatan pakej haji tanpa lesen daripada TH adalah satu kesalahan dan boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535).

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *