GEORGE TOWN – Lima kenderaan rosak akibat ditimpa pokok tumbang di Jalan Macalister, di sini, pagi tadi.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bagan Jermal, Nazril Hisyam Napiah berkata, satu pasukan lapan anggota bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan mengenainya pada kira-kira jam 10 pagi.
Beliau berkata, sebaik tiba di lokasi, pihaknya mendapati ada dua pokok tumbang merintangi jalan, dengan satu daripadanya menimpa kawasan parkir bangunan berhampiran.
“Tiada kemalangan jiwa atau kecederaan, hanya lima kenderaan rosak akibat ditimpa pokok berkenaan, selain pagar bangunan itu turut rosak,” katanya di sini.
Selain bomba, operasi turut membabitkan petugas beberapa agensi termasuk Angkatan Pertahanan Awam (APM), Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Pasukan Bomba Sukarela (PBS), yang membantu mengalih dan membersihkan kawasan.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tikus, Joshua Woo Sze Zeng menerusi hantaran di Facebook, berharap MBPP mempunyai pelan tindakan yang agresif untuk menjadualkan kerja memangkas pokok yang berisiko menyebabkan kemalangan.
“Jika ada keperluan untuk memotong pokok berbahaya ini, pihak MBPP diingatkan supaya tidak mengabaikannya demi memastikan keadaan kawasan awam dan jalan selamat untuk pengguna. Keutamaan kita adalah keselamatan penduduk,” katanya. – BERNAMA
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252