BERITA UTAMA

Siasatan SPRM: Mohd Shukri masih MB, berstatus quo – Takiyuddin

HULU SELANGOR – Perikatan Nasional (PN) tidak membincangkan kedudukan Mohd Shukri Ramli sebagai Menteri Besar Perlis walaupun telah dipanggil mengambil keterangan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum ini.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, Mohd Shukri masih Menteri Besar dan berstatus quo.

Takiyuddin berkata, Mohd Shukri tidak boleh dipecat sewenang-wenangnya kecuali melanggar perkara yang ditetapkan dalam Perlembagaan.

“Seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah. Itu prinsip undang-undang dan keadilan.

Ini caj pun tak lagi. Siasatan sesiapapun boleh siasat. Tanya pun boleh disiasat, boleh ditangkap. Jadi belum ada apa-apa lagi,” katanya kepada pemberita selepas pengumuman manifesto calon PN Kuala Kubu Baharu di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Takiyuddin yang juga merupakan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) berkata, tiada desakan daripada mana-mana Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Perlis susulan siasatan SPRM terhadap Mohd Shukri.

“Tak ada berbangkit. Menteri Besar masih lagi menghadap Raja Perlis untuk mengadakan mesyuarat Exco dan sebagainya seperti biasa,” katanya.

Mengulas mengenai Bersatu Perlis yang dilapor sedia menggalas tanggungjawab menerajui pentadbiran negeri, Takiyuddin sebaliknya menyatakan Perlis hanya mempunyai PN.

“Di Perlis itu tak ada Pas, tak ada Bersatu. Kita ada PN. Jadi sesiapapun ADUN PN di Perlis itu layak menjadi Menteri Besar kalau sekiranya mendapat sokongan daripada parti.

“Kita ada 15 kerusi. Kalau lebih daripada separuh menghendakkan mana-mana ADUN, dia jadi Menteri Besar,” katanya.

Rabu lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan Mohd Shukri memberi keterangan selama lapan jam mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 membabitkan dakwaan salah guna kuasa.

Mohd Shukri yang juga Pesuruhjaya Pas Perlis merangkap Pengerusi PN negeri itu dipanggil memberi keterangan membabitkan pelaksanaan projek pembangunan prasarana, termasuk membaik pulih, menyenggara, pembekalan dan perkhidmatan di seluruh Perlis sejak 2022.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *