BERITA UTAMA

Kes jenayah Goldman Sachs berhubung 1MDB tamat secara rasmi

NEW YORK – Pendakwaan jenayah kerajaan Amerika Syarikat (AS) ke atas Goldman Sachs berkaitan peranan Wall Street berhubung dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) secara rasmi ditamatkan semalam.

Ia selepas Goldman Sachs memenuhi kewajipannya dan membayar penalti sebanyak AS$2.9 bilion.

Ketua Hakim Mahkamah Persekutuan di Brooklyn, Margo Brodie menolak tuduhan konspirasi rasuah terhadap Goldman, selepas bank itu berjaya menyelesaikan perjanjian penangguhan pendakwaan tiga tahun yang tamat pada Oktober.

Bank itu sebelum ini membantu menjual AS$6.5 bilion bon untuk 1MDB, yang ditubuhkan bekas Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak dengan bantuan Jho Low untuk menggalakkan pembangunan ekonomi.

Pihak berkuasa AS dan Malaysia berkata, AS$4.5 bilion telah disalurkan, dengan sebahagian dilencongkan ke akaun bank luar pesisir dan ‘syarikat cengkerang’ (shell company) dikaitkan dengan Jho Low, yang kini menjadi buruan pihak berkuasa.

Goldman berkata, pegawai 1MDB dan bekas pegawai kerajaan Malaysia telah menipu mereka mengenai bagaimana hasil jualan bon akan digunakan.

Bank tersebut mengutip kira-kira AS$600 juta dalam yuran, dan unit Malaysia dan mereka mengaku bersalah atas tuduhan rasuah.

Dua bekas pegawai bank Goldman telah didakwa atas kesalahan jenayah dalam perkara itu.

Tim Leissner, yang mengetuai perniagaan Goldman di Asia Tenggara, mengaku bersalah dan belum dijatuhkan hukuman.

Manakala bekas ketua perbankan pelaburan di Malaysia, Roger Ng, disabitkan kesalahan di Brooklyn dan dijatuhi hukuman penjara 10 tahun, namun dihantar ke Malaysia Oktober lalu untuk membantu siasatan di negara ini.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *